JOHOR BAHRU: Atas dasar kasih, seorang nenek mengambil alih tugas membesarkan empat cucu termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) selepas mereka diabaikan ibu kandung.
Warga emas itu yang hanya mahu dikenali sebagai Mariam, 68, menjaga empat cucunya berusia, 11, 10, enam dan tujuh bulan.
Menurutnya, dia tidak sanggup melihat cucunya berdepan pelbagai kesukaran hidup akibat perbuatan tidak bertanggungjawab anaknya yang melakukan pengabaian terhadap mereka sejak kecil.
"Anak perempuan saya terbabit dengan dadah dan dia juga bergelumang dengan masalah sosial.
"Cucu sulung ditinggalkan di rumah mereka di Ipoh, Perak selepas dilahirkan. Demikian juga dengan dua lagi cucu.
"Cucu keempat diserahkan kepada saya oleh pihak mahkamah di Ipoh selepas ibunya disabitkan kes penderaan dan pengabaian anak," katanya ditemui di sebuah projek perumahan rakyat (PPR) di bandar raya ini.
Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry Mas Imran Adam (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Normah Asinar dan cucunya di PPR Kempas Permai, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan |
Menurutnya, cabaran dan ujian terbesar dihadapinya ketika ini adalah cucu keempat dilahirkan dengan masalah sumbing bibir dan lelangit dan memerlukan pembedahan segera di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.
Menurutnya, buat masa ini dia menampung kos ulang-alik ke hospital, keperluan dan persekolahan cucu menggunakan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal RM1,000 sebulan.
"Katanya, sebelum ini dia bekerja sebagai tukang cuci dan menjual cendol namun kini dia tidak mampu bekerja selepas cedera kaki akibat kemalangan selepas diragut penjenayah empat tahun lalu.
Terdahulu ibu tunggal itu menerima kunjungan Pengurus Besar Pasar Raya Econsave, Mas Imran Adam yang menyampaikan sumbangan.
Mas Imran berkata, bantuan barang basah, keperluan asas, susu dan lampin pakai buang bernilai RM1,100 bagi meringankan beban Normah.
Kredit: Berita Harian
0 Comments