Kuala Lumpur : Pelakon filem Adik Manja era 1980-an, Dharma Harun Al-Rashid kini sukar bertutur dengan lancar, termasuk menghidap asma selepas mengalami serangan angin ahmar pada 2019 lalu.
Dharma, 68, berkata, dia juga berhadapan situasi susah nak mengingati apa-apa berikutan kesukaran bercakap itu yang menyebabkan dirinya tidak boleh aktif dalam karier seni sama ada mengarah atau berlakon.
"Sekarang ini, saya memang susah nak ingat apa-apa. Walaupun kadang-kadang saya tahu perkara itu, tapi sebab sukar nak bercakap membuatkan banyak yang terbatas. Saya juga dah tak boleh aktif dalam karier seni lagi.
"Malah, saya kini bergantung pada ubat-ubatan selain perlu membuat latihan bagi menguatkan semula ingatan sebagaimana disarankan doktor," katanya mengakui banyak menonton filem lama.
Bapa kepada dua anak itu berkata, dia masih ingin berlakon, cuma keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan pada ketika ini menyebabkan terpaksa menolak setiap tawaran diterima.
"Disebabkan susah bercakap dan hendak mengingat, saya hanya ikut saja apa diarahkan. Tapi, rindu pada berlakon itu sentiasa ada, terutama jika terkenang memori semasa berlakon dengan kawan-kawan dulu.
"Seingat saya, kali terakhir berlakon lebih 10 tahun lalu," katanya yang ditemui di kediamannya ketika kunjungan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Ahmad Farhan Fauzi sempena Program Ziarah Madani di sini, hari ini.
Mengulas program ziarah itu, Dharma berkata, dia amat berbesar hati menerima kunjungan berkenaan berikutan keprihatinan Perdana Menteri menghantar wakil untuk melawatnya yang sudah lama tidak berlakon.
"Saya memang sangat terharu, apa lagi sekarang ini berdepan masalah kesihatan dan kepayahan hidup kerana sudah tidak dapat bekerja seperti dulu," katanya turut menitiskan air mata.
Urusan penjagaan Dharma dilakukan anaknya iaitu Siti Qurratu Aini, 36, dan Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 35.
Sumber: Harian Metro
0 Comments