Kuala Lumpur: Sambutan Tahun Baharu Cina bertukar duka buat seorang jurujual apabila rumah didiaminya sejak kecil musnah dalam kebakaran di Blok 70 Flat Sri Sabah, Cheras, di sini, malam tadi.
Lebih memilukan apabila usaha mangsa, Loo Choon Ming, 39, untuk memadamkan api yang dipercayai bermula dari rumah jirannya gagal selepas pili bomba di tingkat 17 blok terbabit dikatakan gagal berfungsi.
Loo berkata, hanya dia dan ibunya yang berusia 62 tahun berada di rumah ketika insiden kira-kira 8 malam dan mereka sedang menonton televisyen.
"Pada mulanya, saya hanya nampak sedikit kepulan asap tetapi lama-kelamaan kepulan asap semakin banyak, menyebabkan saya bergegas keluar rumah untuk melihat apa yang berlaku.
"Kemudian nampak api di rumah jiran sebelah dan saya cuba bantu memadamkannya. Kira-kira 20 minit kami cuba padamkan api dengan menjirus air.
Loo Choon Ming 39 |
"Bagaimanapun api gagal padam dan segera hubungi bomba," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurutnya, dia bersama ibu dan jiran tetangga segera menyelamatkan diri dengan menuruni tangga apabila api semakin marak.
"Kami turun tingkat tingkat 15, sebelum guna lif untuk ke aras bawah.
"Apa yang saya kesalkan adalah pili bomba yang terletak di tingkat ini (tingkat 17) tidak berfungsi dan menyebabkan kami tidak dapat memadamkan kebakaran awal.
"Saya percaya kebakaran itu bermula kira-kira 7 malam, dari rumah jiran yang terletak sebelah tangga," katanya yang memaklumkan tidak mendengar sebarang bunyi letupan dalam kejadian berkenaan.
Loo juga memberitahu rumahnya musnah sepenuhnya dan tiada barang yang dapat diselamatkan,
Bagaimanapun dia bersyukur apabila dia dan ibunya selamat tanpa sebarang kecederaan.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan, enam unit rumah di tingkat 17 Blok 70 Flat Sri Sabah, Cheras, di sini, terbakar.
0 Comments