Gambar sekadar hiasan
Polis menahan pengawal keselamatan kerana disyaki mencabul murid perempuan Tahun Satu sebuah sekolah rendah, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada rakan suspek yang juga pengawal keselamatan di sekolah sama, jam 10 pagi.
"Pengadu mendakwa, dia melihat suspek memeluk dan mencabul kehormatan seorang murid perempuan berusia tujuh tahun di hadapan kelas sekolah itu pada jam 6.30 pagi sewaktu sedang melakukan rondaan.
"Anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak bertindak menahan suspek lelaki berusia 45 tahun itu di sekolah terbabit pada jam 11 pagi," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Berdasarkan siasatan awal, Ahmad Adnan berkata, mangsa mendakwa suspek sudah beberapa kali mengulangi perbuatan terkutuk itu terhadapnya sebelum ini.
"Hasil soal siasat awal yang dijalankan, suspek mengaku melakukan jenayah itu berulang kali.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.
"Suspek direman selama enam hari sehingga 6 Februari ini untuk siasatan lanjut dan kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dengan cadangan pertuduhan," katanya.
Kredit: Utusan Malaysia
0 Comments