Melaka: Seorang penjaja makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap 10 pertuduhan melakukan perbuatan s*ks luar tabii dan menc*bul tiga remaja lelaki.
Baca juga: Bintang bola sepak Jerman yang menyinar pada Piala Dunia 1990 meninggal dunia pada usia 63
Pengakuan tertuduh, Yusri Nadin, 57, direkodkan di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman pada Isnin (19 Feb).
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan s*ks luar tabii ke atas seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun dengan cara melakukan s*ks oral dengannya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang mana tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebat jika didapati bersalah.
Tertuduh juga menghadapi enam lagi pertuduhan melakukan amang s*ksual fizikal dengan didakwa memegang bahagian sulit tiga kanak-kanak lelaki yang kesemuanya berusia 13 tahun mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen itu, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Dia juga didakwa memaksa salah seorang mangsa melakukan s*ks oral ke atas seorang lagi remaja lelaki yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga didakwa memiliki video l*cah kanak-kanak melakukan perbuatan s*ksual yang disimpan dalam tiga telefon bimbitnya.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah ladang kelapa sawit, kebun getah dan sebuah pusat beli-belah di Simpang Bekoh, Asahan dalam daerah Jasin antara 23 Ogos 2023 hingga Februari lalu.
Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom manakala tertuduh diwakili peguam Ishak Mohd Kari.
Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM52,000 bagi kesemua pertuduhan dan menyerahkan pasport antarabangsa tertuduh.
Tertuduh juga diarahkan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan manakala tarikh sebutan seterusnya ditetapkan pada 28 Mac ini.
0 Comments