Tidak pernah mengesahkan bercinta dengan Amelia Christie Lim, Sharnaaz Ahmad enggan mengulas gosip konon hubungan dengan pelakon itu, sudah terlerai.
Sebelum ini, hubungan Sharnaaz dengan bakat baharu berusia 24 tahun dikatakan sudah berakhir apabila mereka dilihat tidak lagi menjadi pengikut akaun media sosial masing-masing.
"Iya ke? Saya pun tak perasan perkara itu (tidak lagi jadi pengikut akaun media sosial masing-masing). Saya tak mahu komen apa-apa," katanya ditemui pada majlis pembukaan butik Elrah Shoppes At Four Seasons di sini, hari ini.
Sharnaaz, 38, berkata, fokus utamanya sekarang adalah kepada anak tunggal, Jebat Jayden, 6, dan diri sendiri.
Sharnaaz berkata, hubungan baik Jebat dan Amelia juga menyebabkan dia kurang selesa bercerita soal perhubungan cinta.
"Amelia masih rapat dengan Jebat. Disebabkan itulah saya tidak mahu bercerita sangat mengenai hubungan cinta. Saya bimbang sesuatu berlaku di tengah jalan dan saya pun tidak mahu serabut.
"Lagipun, selama ini, saya tidak pernah mengiya atau menafikan hubungan dengan Amelia.
"Jadi, hendak kata ada hubungan atau apa, saya tak pernah mengiyakannya sejak awal. Tidak bolehlah hendak kata sudah putus, pening juga," katanya.
Bagaimanapun bintang filem Polis Evo 3 itu tidak menafikan Amelia wanita baik.
Mengenai jodoh, pelakon berasal dari Pulau Pinang itu tidak menolak jika kembali mendirikan rumah tangga.
"Kalau ada rezeki saya terima, kalau tiada pun, okay sahaja. Saya sudah ada anak dan fokus hanya hendak mencari duit.
"Soal jodoh, biarlah dulu. Sebelum ini, saya sudah berkahwin sekali. Adakah jodoh kedua selepas ini?
"Jebat pun akan mulakan sesi persekolahan, tidak lama lagi. Jadi, biarlah saya fokus kepada dia," katanya.
Sharnaaz mula dikaitkan dengan Amelia apabila mereka kelihatan hadir bersama di majlis Malam Gala Polis Evo 3, tahun lalu.
Sharnaaz pernah mendirikan rumah tangga dengan Noor Nabila pada Mac 2017, namun, bercerai pada Julai 2020. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan Jebat.
Kredit: Berita Harian
0 Comments