KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Irma Hasmie, 42, tetap dengan pendirian enggan mengulas lanjut berhubung berita mendakwanya sedang berdepan kemelut rumah tangga bersama suami, Redza Syah Azmeer.
Irma atau nama lengkap, Irma Hasmie Ibrahim berkata, orang ramai tidak seharusnya membuat andaian daripada apa sahaja hantaran yang dimuat naik dalam media sosial.
"Saya minta maaf, kalau boleh tak nak komen langsung mengenai isu ini. Saya pilih tidak terlalu berkongsi soal peribadi.
"Saya pilih sebegitu, jadi saya minta maaf. Kita mudah untuk menilai, jadi saya harapkan apa sahaja hantaran dibuat jangan kaitkan dengan soal peribadi yang difikirkan.
"Kalau orang fikir mengenai itu, sebenarnya tidak. Sebab saya tak sebutkan secara terus-terang. Mungkin hantaran yang dibuat itu saya cakap mengenai perkara lain.
"Saya hanya berkongsi dan jangan menilai apa-apa. Saya baik-baik sahaja sekarang," katanya ditemui pada majlis pengiktirafan Ratu Rock Negara, Ella atas komitmen dalam menyebarluaskan kepentingan kesihatan hormon oleh Skyhill Clinic di The Colony KL Eco City, di sini, hari ini.
Pelakon filem Cinta Fotokopi itu berkata, dia memilih langkah berkenaan supaya tidak mengeruhkan keadaan dengan persepsi negatif daripada orang ramai.
"Saya tak nak komen apa-apa sebab akan menimbulkan lagi pelbagai persepsi negatif orang ramai.
"Daripada orang tak bercerita, nanti akan jadi buah mulut orang dan banyak berkait dengan perkara lain," katanya.
Ditanya mengenai komen negatif diterima, Irma berkata, dia enggan ambil peduli, selain menegaskan akan lebih berhati-hati dalam membuat sebarang hantaran dalam media sosial.
"Saya akan ambil yang baik sahaja. Saya kena jaga sebab yang nak jalani kehidupan ini adalah diri saya.
"Jadi, kenapa nak ambil peduli apa orang kata sebab yang menentukan kehidupan kita adalah Allah. Jangan terlalu ambil kira dengan apa orang nak kata.
"Selepas ini, saya akan sangat berhati-hati dan berfikir dulu sebelum muat naik sebarang hantaran sebab impak bakal diterima tidak boleh dijangka," katanya.
Terdahulu, nama Irma menjadi bualan ramai susulan satu perkongsian dalam Instagram (IG) yang seakan-akan memberi bayangan mengenai rumah tangganya sedang bergelora.
Dalam perkongsian itu, Irma memuat naik pesanan kepada suami mengenai pengorbanan dilakukan oleh isteri dalam perkahwinan.
Irma dan Redza Syah mendirikan rumah tangga pada 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata.
Kredit: Berita Harian
0 Comments