Pelakon senior, Kenji Sawahi, 61, mengakui dia sudah belajar mendalami agama Islam kira-kira tujuh tahun lalu bersama sahabat baiknya yang juga seorang ustaz dan berharap memperoleh hidayah daripada Allah.
Kenji atau nama sebenarnya, Lim Boon Wah ketika ditemui berkata, dia belajar mendalami Islam dengan kerelaan hati kerana amat berminat dengan agama itu serta tertarik dengan sikap hormat-menghormati orang Melayu di antara satu sama lain tanpa mengira bangsa.
"Saya sudah belajar mendalami Islam sejak tujuh tahun lalu. Apa dilakukan ini dengan kerelaan hati saya dan sekiranya masuk Islam suatu hari nanti, saya percaya tiada halangan daripada keluarga kerana mereka faham ini hak saya nak memilih agama apa sebagai pegangan kekal," katanya.
Kenji berkata, dia dibesarkan oleh datuk dan nenek yang tinggal dalam perkampungan Melayu serta orang Siam di Perlis kerana ibu bapanya adalah pelakon opera Cina yang membuat persembahan di seluruh negara.
"Keluarga saya yang membuka kedai runcit adalah satu-satunya berbangsa Cina di situ. Jadi, saya sudah terbiasa dan didedahkan dengan kehidupan yang harmoni dalam masyarakat di kampung itu, termasuk tiada masalah juga orang Cina seperti saya datang dan masuk ke masjid kerana diundang sendiri oleh imam.
"Datuk dan nenek saya juga amat menghormati agama Islam apabila di luar dan dalam rumah kami tidak dibenarkan bawa masuk serta makan daging khinzir. Sebabnya, datuk dan nenek tidak mahu ada kekotoran dan rasa kurang selesa orang Melayu untuk datang ke kedai kami.
"Dari situ, saya sebenarnya sudah terbiasa dengan Islam dan sifat ingin tahu untuk mendalami agama ini (Islam) berterusan sampai sekarang dan semoga harapnya ada rezeki untuk saya memperoleh hidayah daripada Tuhan," katanya.
Terdahulu, Kenji hadir pada tayangan episod akhir drama Layang Layang Perkahwinan arahan Eyra Rahman di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Ditanya mengenai dirinya yang masih segak hingga kini, Kenji berkata, dia bersyukur Tuhan memberikan kesihatan yang baik kepadanya dan rezeki tidak putus dalam lakonan meskipun kini berstatus warga emas.
"Syukur saya masih sihat dan tiada penyakit tiga serangkai itu (kencing manis, darah tinggi dan lemah jantung). Pada usia yang sudah 'emas' ini, saya memang menjaga pemakanan harian serta bersenam untuk kesihatan.
"Lagi pun, saya tidak suka orang panggil lelaki yang sudah berumur macam saya ini warga emas sebab saya masih kuat, sihat, bertenaga, aktif dan boleh bekerja," katanya yang masih tenang hidup membujang.
Sudah empat dekad berkecimpung dalam karier seni, Kenji berkata, dia amat bangga menjadi anak Malaysia yang hidup dalam keadaan baik dan tenteram tidak kira kaum dan sentiasa membicarakannya dengan orang asing apabila 'shooting' (menjalani penggambaran) di luar negara seperti China.
Kredit: Harian Metro
0 Comments