'Saya tak peduli apa orang kata, Siti Nor Aien jodoh saya'

'Saya tak peduli apa orang kata, Siti Nor Aien jodoh saya'


Pasir Puteh: "Saya tak peduli apa orang kata kerana bagi saya, dia (isteri) baik, menarik dan cantik."


Demikian reaksi Ahmad Qatadah Sauti, 28, ketika diminta menceritakan kisahnya yang berkahwin dengan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, Siti Nor Aien Mohd Zawawi, 24.


Menurut Ahmad Qatadah, dia menerima Siti Nor Aein seadanya sejak awal perkenalan mereka lagi jadi tidak memandang kekurangan yang ada kerana lebih tertarik dengan keperibadian isterinya.


Ahmad Qatadah juga bersyukur kerana keluarga tidak menghalang sebaliknya beri kebebasan kepadanya untuk memilih teman hidup.


"Kami berkenalan empat tahun lalu dengan bantuan seorang rakan.


"Selepas berkenalan dan menjalin cinta, kami mengikat tali pertunangan pada Ogos 2021.


"Keluarga kedua belah pihak merestui hubungan dan kami pula memang suka sama suka jadi sepakat berkahwin pada Februari 2022.


"Saya ikhlas terima dia sebagai pasangan dan reda saja kerana percaya dia jodoh ditentukan Allah SWT buat saya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.


Sementara itu, isterinya, Siti Nor Aien bersyukur kerana ditakdirkan berkahwin dengan suami yang menerima dirinya seadanya.


Lebih membuatkan Siti Nor Aien terharu apabila suaminya masih setia dengannya walaupun masalah penglihatannya semakin teruk selepas melahirkan anak perempuan mereka yang kini berumur dua tahun.


"Sebenarnya, sejak kecil lagi saya ada masalah penglihatan apabila kedua-dua mata hanya nampak warna, cahaya dan bayang-bayang saja.


"Tapi selepas melahirkan anak pertama, saya mengalami glaukoma iaitu kerosakan saraf mata yang menyebabkan mata kanan buta sepenuhnya.


"Hilang semangat juga awalnya terutama apabila ada yang kata suami saya pasti menyesal dapat isteri cacat macam saya.


"Tapi suami dan keluarga terutama emak juga ayah banyak beri semangat hingga saya dapat keyakinan," katanya yang juga suri rumah sepenuh masa.


Menurut Siti Nor Aien, niatnya ketengahkan diri di TikTok pula adalah untuk membuktikan OKU sepertinya juga ada kebolehan seperti individu normal.


"Saya ada akaun TikTok sudah lama cuma aktif buat siaran langsung selepas berkahwin.


"Awalnya bersembang dengan pengikut macam biasa saja kemudian kongsi cara saya bersolek selain ambil upah buat ulasan dan jual produk.


"Komen bercampur baur malah hampir setiap hari ada yang bertanya bagaimana saya lakukan itu dan ini kerana mata tak nampak sampai sudah lali.


"Tapi sekurang-kurangnya saya dapat buka mata yang OKU macam saya juga boleh buat sesuatu dan bukan hanya jadi peminta sedekah seperti yang segelintir mereka sangkakan," katanya.


Kredit: Harian Metro

Post a Comment

0 Comments