Pempengaruh media sosial kontroversi, Aisyah Hijanah bersyukur apabila prosedur harta sepencarian difailkan olehnya sudah selesai dibicarakan di Mahkamah Syariah Shah Alam, pagi tadi.
Aisyah atau nama sebenarnya Aisyah Hijanah Azhari, 29, ketika ditemui berkata, syarikat Hijanah yang sebelum ini diusahakan olehnya dan suaminya, Alif Teega sudah sah menjadi miliknya.
"Kami baru sahaja habis perbicaraan untuk kes harta sepencarian yang sudah persetujui sebelum ini.
"Hari ini selesai sudah semua dan disahkan oleh hakim. Syarikat Hijanah diuruskan bersama, tapi Alhamdulillah Alif pun sudah serahkan sepenuhnya atas nama Aisyah," katanya.
Alif yang juga ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam selepas perbicaraan kes harta sepencarian itu berkata, perkara itu difailkan bukan bermakna isterinya seorang yang tamak, sebaliknya ia diuruskan sendiri oleh isterinya sejak awal lagi.
"Apa yang kita buat hari ini bukan menunjukkan isteri tamak, nak bolot semua. Selayaknya Aisyah dapat sepenuhnya harta ini. Benda ini sepatutnya dibuat sebelum poligami.
"Isteri ada hak minta apa yang dia nak," katanya.
Ditanya mengenai pembahagian harta buat isteri kedua dikenali sebagai Fatin, Alif berkata, isteri keduanya mempunyai bahagiannya yang tersendiri.
"Rezeki Fatin ada. Tak semestinya beri kepada Aisyah semuanya, Fatin tidak dapat apa. Dia (Aisyah) sesuai dapat apa yang dia dapat.
"Takkan yang diusahakan ini, yang kedua nak merasa. Biarlah Aisyah uruskan. Dia (Fatin) ada rezeki dia. Ada bahagian dia," katanya.
Terdahulu, Aisyah mendedahkan harta sepencarian bersama suami sudah dipindah milik penuh kepada dirinya.
Harta sepencarian dimaksudkan termasuklah pegangan perniagaan tudung, rumah, kereta dan aset-aset lain.
Dalam pada itu, Aisyah turut berkongsi berita gembira yang mana bakal melahirkan anak ketiga pada Mac depan.
"Alhamdulillah, bulan depan saya akan bersalin bayi perempuan. Pada awalnya pergerakan bayi sedikit perlahan. Akhir-akhir ini semakin baik," katanya.
Kredit: Berita Harian
0 Comments