Isteri kepada pelawak dan usahawan, Shuib iaitu Watie Hanifiah, 36, mendedahkan kehilangan RM100,000 akibat penipuan atau 'scam' daripada skim pelaburan.
Watie atau nama sebenarnya, Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah berkata, dia mengetahui ditipu pada Januari lalu ketika mahu terbang ke China atas urusan perniagaan. Lebih malang, akaun Instagram (IG) miliknya turut digantung.
"Bukan saya sahaja, tapi ramai menjadi mangsa penipuan skim ini, dipercayai membabitkan jutaan ringgit. Ramai ditipu dan mencari individu di sebalik skim ini. Saya adalah salah seorang mangsa.
"Pada awalnya, saya masukkan sikit demi sikit daripada RM30,000 sehinggalah RM100,000. Saya percaya kepada skim ini sebab lihat ramai dapat pulangan lumayan seperti ada yang beli rumah dan sebagainya.
"Malangnya, saya juga kehilangan IG ketika tahu ditipu. Saya hilang duit tak menangis, tapi hilang IG saya menangis. Saya tahu rezeki kalau Allah nak ambil, akan diambil.
"Kalau ada IG, bolehlah ada pendapatan. Kalau tiada IG, tiadalah pendapatan. Sebab itulah saya menangis hilang IG. Duit memang boleh cari, tapi otak runsing soal kerja yang tertangguh sebab ada dua hingga tiga kontrak yang baru ditandatangani," katanya.
Watie memberitahu, dia segera meminta maaf kepada Shuib kerana suaminya pernah menasihatkannya tidak terpedaya dengan skim pelaburan, namun dirinya tetap berdegil.
"Mungkin juga benda ini (penipuan) berlaku sebab saya tak dengar cakap suami. Sebab Shuib memang tak izin saya sertai skim ini.
"Saya minta juga restu suami sebab takut kalau tak restu, banyak benda boleh jadi, tapi bila minta restu pun boleh jadi juga.
"Mujurlah Allah tarik duit, kalau tarik anak dan suami macam mana? Mungkin Allah nak tunjuk saya ini degil sebab ada duit sendiri. Suami sudah cakap jangan.
"Nasib baik Shuib tidak sertai saya, kalau tidak lagi banyak kami rugi.
"Orang perempuan bila ada pendapatan sendiri macam itulah. Saya pula memang jenis pantang dengar soal pelaburan yang mendatangkan keuntungan berlipat kali ganda," katanya.
Berikutan itu, Watie tidak menafikan kesalahannya sendiri yang mudah terpengaruh, namun kini belajar untuk lebih berhati-hati.
"Saya tak mahu salahkan orang sebab penipu memang sentiasa ada, jadi kita perlu berwaspada. Individu itu sebenarnya ada inisiatif nak bayar balik kepada saya, tapi tak tahulah dapat atau tidak.
"Ini disebabkan individu berkenaan sudah ke luar negara. Tapi, apa yang saya belajar, jangan derhaka cakap suami. Kalau suami kata tidak, maksudnya jangan.
"Jangan pujuk-pujuk sampai suami kena paksa cakap iya," katanya.
Dalam pada itu, Watie berkata, dia baru sahaja dipanggil oleh pihak polis bagi memberi kenyataan terhadap kes penipuan membabitkan wang sebanyak RM20,000 pada 2020.
Terdahulu, Shuib dan Watie mendirikan rumah tangga pada 23 Jun tahun lalu.
Ia adalah perkahwinan kedua Shuib selepas pemergian Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang meninggal dunia pada 9 Ogos 2021.
Kredit: Berita Harian
0 Comments