Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi, 43, berang dan tidak ambil ringan ugutan yang mengancam keselamatan diri dan keluarga di kediaman mereka di kondominium Damansara Perdana, Petaling Jaya.
Zed atau nama sebenar, Rozaidi Abdul Jamil yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) pengurusan kondominium terbabit berkata, dia mendapat tahu hal itu daripada jirannya.
"Semalam, tiba-tiba jiran saya yang juga bendahari persatuan penduduk maklumkan ada pihak busukkan dan fitnah kami. Ada memo ugutan diletakkan di papan notis dalam lif.
"Kami diminta letak jawatan dalam masa tiga hari, keluarga serta anak-anak kecil dan kami dituntut membetulkan kesalahan sebelum masa depan hancur. Turut disertakan gambar, nama penuh, nombor rumah dan nombor kad pengenalan saya.
"Maknanya, individu berkenaan dapat maklumat daripada orang dalam. Ia bermaksud juga pengugut itu pun mesti penghuni dalam bangunan kami juga," katanya.
Bertindak terhadap ugutan itu, Zed membuat laporan di Balai Polis Mutiara Damansara bagi mencari dalang berkenaan. Katanya, dia takkan berkompromi jika keselamatan keluarga jadi sasaran.
"Semalam saya sudah buat laporan polis dan pantas bertindak. Mereka sudah memeriksa CCTV (kamera litar tertutup) yang ada suspek dan serahkan tindakan lanjut kepada polis untuk buat siasatan. Memang dalang itu akan ditangkap.
"Hal ini ancaman, membabitkan saya dan keluarga. Saya soal begini tidak boleh berkompromi. Mereka ini semua penakut! Kalau berdasarkan penulisan, mungkin bukan orang Melayu.
"Kalau jatuhkan imej saya, hal itu sudah biasa untuk saya. Tapi kalau cuba ugut seperti ini, pengecutlah namanya. Ini memang sudah kes jenayah sebab membabitkan ugut dalam rumah. Kalau ugut itu dibuat di luar, saya tak kisah sangat," katanya.
Zed percaya ugutan itu berpunca daripada perlantikannya sebagai AJK persatuan penduduk di bangunan kediamannya itu. Katanya, dia dan pasukan kepimpinan baharu mengambil alih pengurusan sejak Mei lalu.
"Saya adalah AJK baharu dalam pengurusan bangunan itu. Apabila pasukan kami masuk, dapat tahu sudah lima tahun audit pengurusan tidak dibuat. Kami terpaksalah buat siasatan lanjut.
"Sebelum ini, kepimpinan terdahulu letak jawatan beramai-ramai. Kakitangan yang sudah bekerja selama 12 tahun di pejabat pengurusan itupun tiba-tiba berhenti. Mungkin disebabkan ada isu pecah amanah dan lain-lain," dakwanya.
Zed yakin ugutan itu berlaku kerana ada pihak enggan kesalahan yang mereka lakukan sebelum ini terbongkar dengan pemeriksaan kepimpinan baharunya.
Kredit: Berita Harian
0 Comments