KOTA BHARU: Penantian seorang pelajar Maahad Tahfiz Al Quran Al Uzma, Kota Bharu untuk dijemput pulang bapanya sejak hampir setahun lalu berakhir apabila lelaki itu melawatnya baru-baru ini.
Pengasas maahad tahfiz itu, Mohd. Romuza Abd. Ghani berkata, lelaki berusia 49 tahun itu datang pada pukul 10 malam.
Pertemuan penuh beremosi antara dua beranak tersebut berlangsung kira-kira sejam.
Katanya, pertemuan itu meninggalkan kesan yang positif kepada pelajar berkenaan kerana dia dilihat lebih bersemangat apabila mendapat peluang bercakap dengan bapanya.
“Lelaki itu memaklumkan dia tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tempat tinggal. Adakalanya dia menumpang di rumah orang dan surau. Dia juga tidak mempunyai telefon bimbit untuk dihubungi.
“Dia hanya mengetahui tentang keadaan anaknya itu selepas diberitahu oleh kawan-kawan,” katanya.
Difahamkan, sepanjang menuntut di maahad tahfiz tersebut, pelajar lelaki berkenaan baru sekali pulang beraya selepas dijemput bapanya pada raya Aidilfitri dan Aidiladha tahun lepas.
Disebabkan ketiadaan tempat tinggal, remaja itu hanya pulang dua hari walaupun diberikan cuti selama seminggu.
“Selepas menghantar anaknya, lelaki itu sudah tidak dapat dihubungi lagi kerana nombor telefonnya sudah tidak aktif,” ujarnya.
Dalam pada itu Mohd. Romuza memberitahu, lelaki tersebut berjanji akan membawa pulang anaknya pada cuti persekolahan yang akan datang, namun buat masa sekarang, keadaannya masih tidak mengizinkan untuk berbuat demikian.
Bapanya turut berhasrat untuk mempertemukan pelajar lelaki itu dengan dua lagi adiknya pada bulan Ramadan ini, namun perkara itu masih dalam perancangan.
“Dia sedang berusaha untuk melunaskan rancangan itu,” katanya.
Sumber: Kosmo Online
0 Comments