Datuk Red dilihat memuat naik video di akaun TikTok memberitahu, dia dalam usaha mencari pekerjaan dan meminta bantuan mana-mana pihak yang sudi membantu.
"Perkongsian cari kerja di TikTok itu saya beranikan diri saja. Malu belakang kira. Saya tak boleh tinggal diam biarkan orang rumah tanggung saya. Saya tak kisah kerja apa janji halal."
Demikian ujar suami kepada penyanyi Adira Suhaimi iaitu usahawan Datuk Seri Adnan Abu yang berkata, dia nekad untuk mencari pekerjaan baru demi menampung kehidupannya dan keluarga selepas lima tahun tiada pendapatan tetap.
Sebelum ini, Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red mendedahkan, dia tiada pekerjaan dan terpaksa menumpang belas ihsan Adira selepas diisytiharkan muflis pada tahun 2019.
"Macam inilah kehidupan, betul saya sedang mencari kerja. Saya sebenarnya sudah diisytiharkan muflis sejak 2019. Selagi tak usaha selagi itulah tak tahu.
Datuk Red juga turut berkongsi, bagaimana dia boleh diisytihar muflis.
"Saya tersilap langkah, saya ada kerjasama dengan satu 'developer' untuk bina rumah, tapi projek tersebut gagal. Asalnya saya berhutang RM90 000 je, tapi akhirnya berkait sehinggalah berjuta-juta dan saya diisytiharkan muflis. Ini memang kesilapan saya", ujarnya.
Jelas Datuk Red lagi, dia sudah melakukan pelbagai usaha untuk mencari kerja tetap sepanjang lima tahun ini, namun tidak membuahkan hasil.
"Saya ni terlalu banyak hutang... sampai berjuta-juta. Ada yang cadangkan suruh saya jadi pemandu e-hailing tapi itu sekadar melepaskan tengkuk saya saja. Saya pun ada tanya kawan-kawan saya untuk jadi ejen-ejen baju Melayu tapi mereka tak balas mesej saya.
"Nyawa saya pun dah tak lama, takkan saya nak mati dengan hutang," katanya yang pernah terfikir menamatkan hidupnya, namun bersyukur masih memikirkan tentang anak-anak serta agama.
Tambahnya lagi, dia turut meluahkan rasa syukur Adira banyak membantu dalam rumah tangga serta berharap orang ramai tidak menyalahkan isteri-isterinya.
"Selama ini, Adira yang banyak tolong saya. Saya harap kisah saya ini orang tak kaitkan dengan dia. Dia pun manusia biasa ada keinginan, sudah lima tahun dia (Adira) tanggung biawak hidup," tuturnya.
0 Comments