'Dia duduk atas perut pegawai kadet, tampar muka berulang kali' - Saksi

'Dia duduk atas perut pegawai kadet, tampar muka berulang kali' - Saksi

 Soosaimanicckam



KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu, Pegawai Kadet Tentera Laut, J Soosaimanicckam, yang meninggal dunia ketika menjalani latihan, diserang oleh pegawai kanan di pangkalan tentera laut KD Sultan Idris sebelum kematiannya, enam tahun lalu.


Bekas kadet di pangkalan sama, Anas Hakimi Mat @ Ahmad, ketika memberi keterangan berkata, beliau melihat pegawai Leftenan Muda Ariff atau 'Ariff' duduk di atas perut Soosaimanicckam dan menamparnya berulang kali sehari sebelum kematian mangsa.


Anas Hakimi yang kini seorang peguam berkata, beliau dan beberapa individu sedang melakukan senaman fizikal ketika kejadian itu.


Soosaimanicckam ditemui mati pada hari berikutnya iaitu 19 Mei 2018.


Memberi keterangan dalam kes saman atas kecuaian oleh keluarga mendiang terhadap Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan beberapa pihak lain, Anas Hakimi berkata, kehadirannya bertujuan mendapatkan keadilan bagi Soosaimanicckam.


"Pada Jumaat iaitu sehari sebelum kematian mangsa, Ariff duduk di atas perut mangsa dan menampar mukanya berulang kali.


"Pada hari kejadian, kami berada di situ dan dia (Soosaimanicckam) dipukul. Hampir semua yang menghadiri latihan melihat dia dipukul," katanya.


Saksi itu berkata, seorang pegawai bernama Mejar Rahim tiba di tempat kejadian dan mengawal keadaan.


Anas berkata, mendiang menjadi sasaran kerana tidak dapat bersaing dengan pelatih lain dalam latihan kadet tentera laut, selain didiskriminasi oleh pihak atasan di KD Sultan Idris.


Beliau berkata, kadet itu ingin mengambil cuti sakit tetapi pegawai bertugas, Faiz Zanila, menolak permohonannya.


"Faiz mendakwa Soosaimanicckam sebagai manja," katanya.


Anas memberitahu mahkamah, mendiang sentiasa didiskriminasi kerana kaumnya manakala beberapa permohonan cuti sakit ditolak serta dilabel sebagai 'manja'.


Dalam pemeriksaan balas oleh peguam Kanan Persekutuan, Nur Ezdlani Roheb, Anas tidak bersetuju pengasingan dan layanan keras terhadap Soosaimanicckam bertujuan mengukuhkan disiplin dan semangat juang untuk negara.


Anas juga tidak bersetuju kenyataannya berhubung motif perkauman di sebalik layanan terhadap mendiang hanya spekulasi dan andaian dibuat selepas kejadian itu.


Perbicaraan di hadapan Hakim Idah Ismail bersambung pada 17 April ini.


Kredit: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments