Kuala Lumpur: Bekas pemain dram kumpulan thrash metal popular, Cromok, Miji, 58, atau Tarmizi Mokhtar yang menghidap kanser hati tahap empat, meninggal dunia pada jam 10.40 malam tadi di Kelantan.
Khabar sedih ini dikongsikan oleh pemain gitar Cromok, Karl menerusi Facebook tengah malam tadi.
"Dengan penuh kesedihan dan rasa kehilangan yang mendalam, kami ingin memberitahu bahawa Tarmizi Mokhtar (Miji Cromok) telah kembali ke Rahmatullah pada 6 Mac 2024 jam 10.40 malam.
"Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.
"Kami mengundang anda semua untuk turut serta dalam doa dan memberikan sokongan kepada keluarganya di masa kesedihan ini. Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada keluarga untuk menghadapi dugaan ini dengan sabar dan reda," katanya.
Karl turut memaklumkan jenazah Allahyarham dibawa di kediamannya di Kampung Jias, Pasir Mas, Kelantan.
Katanya, jenazah akan dikebumikan selepas Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Lemal, Pasir Mas.
"Pada yang berkesempatan kami berharap agar dapat menyertai perjalanan terakhir ini sebagai tanda penghormatan kepada arwah," katanya.
Ahad lalu, Karl memaklumkan Miji sedang dirawat di hospital akibat kanser hati tahap empat.
Katanya, dia ada menghubungi Miji, Jumaat lalu dan mendapati suara rakannya itu menggambarkan penderitaan yang dihadapinya.
Malah, Karl turut merancang untuk menziarahi Miji, minggu ini.
Oktober lalu, ketika Konsert Ulang Tahun ke-30 Cromok - Forever In Time di Zepp Kuala Lumpur, mereka mengumumkan pengunduran Miji daripada Cromok akibat masalah kesihatan.
Miji turut hadir memberikan sokongan konsert Cromok pada Oktober tahun lalu |
Miji turut hadir ke konsert terbabit bagi memberi sokongan terhadap rakan seperjuangannya itu.
Miji dan Karl adalah anggota asal Cromok yang menubuhkan kumpulan itu bersama Sam (penyanyi, bass) dan Din (gitar, penyanyi) ketika mereka menuntut di Sydney, Australia pada 1987.
Kredit: Berita Harian
0 Comments