AMPANG: Penyanyi dan komposer, Ippo Hafiz, memfailkan tuntutan nusyuz terhadap isterinya, Fara Roslan di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, selepas tidak pulang ke kediaman kelamin sejak November tahun lalu.
Ippo yang hadir di Mahkamah Rendah Syariah pada jam 9.20 pagi bersama peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan berkata, isterinya keluar tanpa keizinannya.
"Hari ini selesai sebutan pertama di mana saya memfailkan tuntutan nusyuz terhadap isteri. Fara keluar rumah tanpa izin sejak November tahun lalu.
"Pelbagai usaha sudah dilakukan, jadi ini (tuntutan nusyuz) salah satu langkah yang perlu saya lakukan sebagai suami," katanya yang ditemui selepas prosiding sebutan pertama selesai.
Bagaimanapun, isterinya, Fara tidak hadir ke prosiding berkenaan.
Ditanya isu rumah tangga, Ippo enggan mengulas lanjut dan menyerahkan semua pada kebijaksanaan mahkamah untuk menyelesaikan.
"Saya serahkan kepada proses mahkamah untuk menyelesaikannya. Fara masih isteri dan saya mahu menjaga hati serta aib keluarga.
"Sebab bercakap soal ini, ia akan menyebarkan aib, jadi lebih baik serahkan pada mahkamah," katanya.
Terdahulu, Ippo dan Fara mendirikan rumah tangga pada 24 Ogos 2019 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki.
Sementara itu, Ippo menyifatkan Ramadan ini antara paling mencabar kerana tidak menyangka rumah tangga yang dibina sejak 2019 akan diuji dengan perceraian.
Ippo berkata, dia tidak berkongsi masalah rumah tangga dalam laman sosial demi menjaga aib dan kehormatan keluarganya.
"Siapa yang nak diuji begini? Kalau tanya, saya pun tidak sangka kami akan pergi sejauh ini. Sebagai suami, saya tak sangka akan lalui semua ini," katanya.
Kredit: Harian Metro
0 Comments