KUALA LUMPUR: Pelawak yang juga sahabat baik kepada Allahyarham Abam Bocey, Achey, menasihati isteri dan adik iparnya untuk menghentikan perbalahan menjelang sambutan Aidilfitri.
Jelas Achey, sudah masanya balu arwah, Nor Hidayah Mohd Ali dan Ali Puteh saling bermaafan, lagi pula anak-anak sudah besar dan mula faham situasi yang terjadi.
“Sudah-sudahlah. Anak-anak juga sudah membesar. Kita tak mahu mereka kenal dan faham apa itu sifat benci.
“Lagi pula itu darah daging, biarlah selesai dengan elok. Saya hanya boleh cakap begini sahaja kerana ia urusan keluarga.
“Pesan saya kepada Nor Hidayah dan Ali, selesaikanlah perkara ini dengan baik, diam-diam dan jangan dihebohkan. Kalau kedua-duanya fikir tentang arwah Abam, tolonglah berhenti bergaduh secepat mungkin,” katanya.
Achey ditemui Utusan Malaysia di Grand Iftar Majlis Meraikan Asnaf anjuran GNI Pharma Sdn Bhd, di sebuah hotel di ibu negara, semalam.
Bukan itu sahaja, Achey dan Fad Bocey juga memegang prinsip enggan masuk campur urusan kedua-dua pihak sehingga kemelut ini berakhir.
“Sepanjang kemelut ini berlaku, saya dan Fad memang tidak akan masuk campur sehinggalah perkara ini betul-betul selesai.
“Jika tidak, ada pihak merasakan kami menyebelahi mereka. Kami bukan berdiam diri, tapi hanya boleh mendoakan dari jauh.
“Bila perkara ini selesai sahaja, saya dan Fad sudah ada macam-macam perancangan antaranya memberikan sedikit hasil pendapatan kami kepada anak Abam,” katanya.
Sementara itu, Achey hadir selepas menerima jemputan syarikat makanan kesihatan, GNI Pharma, bagi memberi sokongan program meraikan golongan asnaf, anak yatim dan tahfiz sekitar Lembah Klang.
“Jemputan selebriti pada hari ini atas dasar kenalan. Selebriti kita sangat rendah diri dan terbuka untuk menyokong program yang melibatkan golongan berkemampuan seperti ini.
“Lagi pula, mereka juga mungkin tidak pernah bertemu artis ini secara dekat. Jadi kita wujudkan momen itu untuk mereka.
Begitu juga dengan majlis buka puasa hari ini di hotel bertaraf lima bintang. Kita mahu kurangkan jurang antara mereka dan orang biasa seperti kita,” kata ketua pegawai eksekutifnya, Syed Gaddafi Syed Saifuddin.
Turut sama memeriahkan majlis itu ialah pelakon Rozita Che Wan, Ayu Raudhah dan Mubarak Majid.
0 Comments