BATU PAHAT: Kakak kepada Bella atau Mila Sharmila Samsusah yang mati dibunuh teman lelakinya, ditahan polis awal pagi tadi sebelum direman bagi membantu siasatan berhubung laporan dibuat terhadapnya kerana didakwa melanggar Akta Kanak-Kanak 2001.
Wanita berusia berusia 37 tahun ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk merekodkan keterangan berhubung satu laporan polis dibuat terhadapnya.
Difahamkan, laporan itu dibuat oleh keluarga tertuduh kononnya mendakwa kakak kepada Bella itu menyiarkan gambar kanak-kanak yang dipercayai anak angkat tertuduh, ketika bersiaran langsung di TikTok, baru-baru ini.
Dia kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat pagi ini, sambil ditemani dua peguamnya, Nur Aminahtul Mardiah Md Nor dan Nurul Hafidzah Hassan bagi mendapat perintah reman.
Majistret Nurasidah A Rahman membenarkan wanita itu direman sehari bermula hari ini bagi membantu siasatan polis.
Sejurus selepas keluar dari mahkamah, wanita itu kelihatan tenang sambil memandang beberapa ahli keluarganya termasuk suaminya.
Pada awalnya, dia baru tiba di Batu Pahat, selepas berbuka puasa di rumah saudara arwah bapanya di Kuala Selangor, pada jam 2.30 pagi.
Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang, dia dihubungi polis untuk hadir ke IPD bagi merekodkan keterangan, sebelum ditahan di lokap.
Dalam pada itu, peguam, Nur Aminahtul Mardiah Md Nor dan Nurul Hafidzah Hassan yang hadir ketika prosiding reman, berkata anak guamnya direman sehari selepas mahkamah menolak permohonan pegawai penyiasat untuk reman tiga hari.
Katanya, anak guamnya disiasat mengikut Seksyen 15 (2) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana dakwaan mengatakan gambar digunakan anak guam terbabit dengan jenayah.
"Sebaliknya, anak guam kami langsung tidak mendedahkan muka seperti mana didakwa dalam laporan dibuat sebelum ini.
"Ketika proses permohonan reman, kami mengemukakan beberapa sebab kenapa anak guam tidak boleh direman terlalu lama. Kalau nak tahan reman, mesti ada sebab tetapi alasan dikemukakan pegawai penyiasat tidak membawa kepada sebab munasabah.
"Sebab itu mahkamah benarkan permohonan reman sehari terhadap anak guam kami," katanya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah
Isnin lalu, wanita itu dilaporkan media sebagai berkata, ketika ini hanya tulang belakang dan tangan jasad adiknya yang belum ditemui.
Wanita itu berkata, keluarganya dimaklumkan mengenai perkara itu dan usaha untuk mencari saki baki tulang Bella atau Mila Sharmila akan dijalankan secepat mungkin.
Katanya, perkara itu diketahui selepas pegawai penyiasat memberitahu tulang belakang dan kedua-dua tangan belum ditemui.
Minggu lalu, orang awam menemui enam ketul tulang di belakang dan tepi rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, lokasi di mana rangka tidak sempurna Bella ditemui pada pagi 19 Disember lalu.
Perkara disahkan oleh polis berhubung penemuan keenam-enam tulang iaitu dua ketul tulang dipercayai bahagian paha, dua ketul tulang betis dan dua ketul tulang keting di lokasi itu.
Tulang itu ditemui pada jam 11.30 pagi, 28 Februari lalu ketika kerja pembersihan dilakukan di tapak lapang oleh pemandu jengkaut.
Kesemua tulang dijumpai itu kemudian dihantar ke Jabatan Kimia Johor untuk analisa perbandingan DNA.
Sementara itu, wanita itu memberitahu, dia dimaklumkan polis bahawa ujian asid deoksiribonukleik (DNA) akan diperolehi paling awal tiga minggu.
"Kalau boleh keputusan itu diperolehi sebelum Aidilfitri, itu yang kami harapkan," katanya selepas melawat lokasi penemuan tulang bersama ahli keluarga dan juga peguam pemerhati, Nur Aminahtul Mardiah Md Nor dan Nurul Hafidzah Hassan.
Pada 26 Januari lalu, iaitu dua hari selepas pengebumian Bella, wanita itu membuat pendedahan mengejut apabila memaklumkan beberapa anggota adiknya 'hilang'.
Kejadian itu disedari ketika dia bersama ibunya, 55, memandikan jenazah Bella di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru sebaik disahkan rangka itu milik Bella.
0 Comments