Kes bunuh Kevin Morais: Mahkamah Rayuan kekalkan hukuman mati 6 lelaki

Kes bunuh Kevin Morais: Mahkamah Rayuan kekalkan hukuman mati 6 lelaki

 


Putrajaya: Mahkamah Rayuan, hari ini, mengekalkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam lelaki atas sabitan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais, sembilan tahun lalu.


Mereka ialah bekas pakar patologi, Kolonel Dr R Kunaseegaran, 61; pemberi pinjaman wang, S Ravi Chandran, 53; dan empat penganggur, R Dinishwaran, 32; A K Thinesh Kumar, 31; M Vishwanath, 34; serta S Nimalan, 31.


Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan itu sebulat suara.


Pada 10 Julai 2020, semua lelaki berkenaan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah membunuh Kevin Morais.


Mereka didakwa membunuh Kevin Morais, 55, di sebuah lokasi di sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara 7 pagi hingga 8 malam, 4 September 2015.


Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.


Mendiang dilaporkan hilang pada tarikh terbabit dan kali terakhir dilihat meninggalkan kondominium dengan menaiki kereta Proton Perdana dari Menara Duta, Kuala Lumpur, ke pejabatnya di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.




Mayatnya ditemukan dalam tong dram yang diisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, 16 September tahun sama.


Kredit: Harian Metro

Post a Comment

0 Comments