Klip video tular askar pukul, tendang bini telah ditahan polis

Klip video tular askar pukul, tendang bini telah ditahan polis


MELAKA – Anggota tentera yang klip videonya tular sejak pagi tadi memaparkan tindakannya memukul dan menendang isterinya di sebuah rumah telahpun ditahan polis pada awal Januari tahun ini.


Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, kes tersebut merupakan kes lama dengan laporan telah dibuat oleh mangsa yang berusia 25 tahun pada 31 Disember tahun lalu.


Katanya, suspek berusia 30 tahun yang bertugas di Kem Sungai Udang telahpun ditahan pada 2 Januari lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.


“Siasatan polis mendapati kejadian tersebut berlaku pada 31 Disember tahun lalu dan satu laporan polis telah diterima daripada mangsa kerana dikasari oleh suaminya yang merupakan anggota tentera.


“Suspek telahpun ditahan polis pada 2 Januari untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan sebentar tadi.


Tambahnya, mangsa merupakan seorang suri rumah dan kejadian berlaku ketika pasangan itu dalam proses untuk bercerai.


Mengulas lanjut beliau berkata, mengikut laporan dibuat, sebelum kejadian mangsa telah meminta suspek membeli makanan untuk anak mereka yang ketika itu berusia tiga tahun.


“Sampai saja di rumah berlaku perselisihan faham apabila suspek menuduh mangsa tidak sabar untuk bercerai dan wanita itu mengaku pada suaminya bahawa dia akan berjumpa dengan pihak atasan untuk melaporkan isu rumah tangga,” ujarnya.


“Susulan itu suspek terus bangun dan menunjal kepala, menarik baju mangsa sehingga terkoyak dan menyepak wanita itu,” katanya


Katanya, mangsa bagaimanapun tidak mengalami kecederaan fizikal. 


Kredit: KOSMO! 

Post a Comment

0 Comments