Kos sara hidup tinggi punca warga KL, Lembah Klang tak bahagia - Khazanah Research

Kos sara hidup tinggi punca warga KL, Lembah Klang tak bahagia - Khazanah Research


Cara Penyelesaian  Isu Kos Sara Hidup


Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, keutamaan segera kerajaan baharunya adalah untuk menangani kos sara hidup yang semakin meningkat. Pada sidang media baru-baru ini, beliau telah meminta agar orang ramai memberikan cadangan manakala agensi kerajaan yang berkaitan mengadakan perbincangan secara terperinci dan mengambil tindakan segera bagi meringankan beban kenaikan harga yang ditanggung oleh rakyat. Selain kos sara hidup dan kejatuhan mata wang, isu subsidi rakyat turut juga diteliti.


Kos sara hidup dan taraf hidup merupakan dua perkara yang saling berkait rapat. Kos sara hidup ialah kos yang terpaksa ditanggung oleh isi rumah bukan hanya keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal tetapi juga keperluan lain seperti kos perubatan, pengangkutan, bayaran pinjaman dan lain-lain. Sementara itu, taraf hidup pula mengukur perbandingan antara pendapatan dengan kos sara hidup. Sekiranya pendapatan berada pada kadar yang lebih rendah berbanding dengan kos sara hidup, maka taraf hidup seseorang dikatakan merosot dan begitu juga sebaliknya.


Majoriti pendapatan yang diterima digunakan untuk bayaran ansuran perumahan, kenderaan, pendidikan dan pinjaman peribadi. Situasi ini menyebabkan mereka tidak mempunyai lebihan wang untuk menabung atau dibelanjakan ke atas barangan lain. Hal ini menyebabkan mereka berada dalam kesempitan hidup. Saya teringat akan satu jenaka tentang kesempitan hidup ini umpama memakai selimut yang pendek dalam kedinginan malam. Selimut ini diumpamakan sebagai kos sara hidup. Apabila menarik selimut ke bahagian atas maka bahagian bawah pula sejuk dan begitulah sebaliknya.  Secara teorinya pula, semakin meningkat kos sara hidup semakin kurang kuasa beli pengguna.


Apabila memperkata tentang kuasa beli pengguna, kita cuba memahaminya. Sebagai contoh, sekitar tahun 70-an dan 80-an apabila kita membawa RM50 ke pasar berbagai-bagai jenis barangan dapur yang dapat dibeli tetapi kini dengan duit sebanyak RM50 itu tidak banyak barang yang dapat dibeli. Keadaan ini bermakna kuasa beli pengguna semakin berkurang.


Sehubungan dengan itu, timbul persoalan  bagaimana untuk menurunkan kos sara hidup atau meningkatkan kuasa beli pengguna? Untuk meningkatkan kuasa beli rakyat bukanlah dengan menaikkan gaji atau memberi bantuan kewangan. Hal yang demikian ini kerana apabila gaji kakitangan awam dinaikkan maka pekerja di pihak swasta juga akan menuntut kenaikan gaji mereka. Apabila pekerja swasta dinaikkan gaji maka harga barangan keluaran mereka atau kos perkhidmatan terpaksa dinaikkan bagi menampung kos operasi.  Maka, secra tidak langsung peniaga akan menaikan harga barangan jualan mereka. Didapati telah banyak negara yang menaikkan gaji tetapi tidak dapat menyelesaikan masalah kuasa beli pengguna. Sebagai contoh negara Indonesia walaupun kadar gaji atau upah yang tinggi mengikut kadar mata wang mereka, namun negara tersebut bukanlah negara yang kaya. Negara yang kaya seharusnya mempunyai kuasa beli rakyat yang tinggi. Mereka perlu membelanjakan puluhan ribu rupiah hanya untuk membeli barangan yang berharga RM10.


Jadi, bagaimanakah untuk meningkatkan kuasa beli pengguna? Salah satu cara adalah dengan meningkatkan produktiviti. Apabila produktiviti ditingkatkan maka harga barangan tersebut dapat dikurangkan. Sebagai contoh negara China, apabila banyak mengeluarkan barangan atau negara yang produktiviti tinggi maka didapati barangan daripada negara mereka jauh lebih murah jika dibandingkan dengan negara kita. Mungkin ada yang beranggapan bahawa barangan dari China itu kurang berkualiti. Dari satu sudut jawapannya mungkin betul tetapi cuba kita lihat contoh negara Jepun pada peringkat awal dahulu produk yang dikeluarkan tidak berkualiti tetapi kini produk mereka berkualiti tinggi kerana sikap mereka terus menjalankan R&D (Research and Development).


Bagaimana cara untuk meningkatkan produktiviti? Produktiviti dapat dipertingkatkan dengan menggunakan teknologi moden. Kini, kita berada di era digital atau di Revolusi Industri 4.0, iaitu perubahan dalam sektor pembuatan bermula daripada menggunakan tangan kepada menggunakan mesin berkuasa wap, yang kemudian beralih kepada tenaga elektrik dan seterusnya kepada penggunaan elektronik dan teknologi maklumat untuk mengautomatikkan pengeluaran dan kini kepada penggunaan sistem siber-fizikal seperti automasi, Internet Berbagai Benda (Internet of Things, IoT), analisis data raya, simulasi, integrasi sistem, penggunaan robotik dan awan (cloud). Kesemua teknologi yang diperkatakan kini meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos sekali gus akan meningkatkan kuasa beli rakyat bagi sesebuah negara.


Mungkin ada yang terfikir apabila kesemua pekerjaan ini diambil alih oleh teknologi seperti sistem atau robot tenaga manusia tidak diperlukan lagi. Kini, kita dapat lihat sistem perbankan menggunakan kemudahan teknologi untuk menyantuni pelanggan. Perkhidmatan perbankan tidak lagi terhad kepada waktu-waktu tertentu untuk berurusan tetapi dapat dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.


Keadaan ini juga pernah berlaku apabila buat pertama kalinya mesin tenun kain telah dicipta di England oleh Edmund Cartwright pada tahun 1785 dan beliau telah mendirikan kilang di Doncaster, England. Namun, pada tahun 1793,  kilangnya telah dibakar oleh penenun tangan yang takut bersaingan dengan mesin tenun.


Sebenarnya, penenun tangan tidak perlu bimbang kerana apabila produktiviti kilang semakin tinggi penenun tangan boleh terus bekerja di kilang tersebut sebagai penyelia dengan gaji yang lebih tinggi. Kain-kain tersebut pula dapat dieksport ke seluruh dunia dan seterusnya dapat menjana pendapatan negara apabila kilang membayar cukai kepada kerajaan. Di samping  itu, kilang tersebut juga dapat menyediakan peluang pekerja dalam pelbagai bidang seperti juruteknik, jurukimpal, juruelektrik dan lain-lain.


Akhir sekali, cadangan kepada kerajaan baharu supaya dapat menarik ramai pelabur asing untuk melabur di Malaysia. Berbagai-bagai insentif sepatutnya ditawarkan oleh kerajaan baharu kepada mereka selain menyediakan kemudahan prasarana yang mencukupi. Apabila pelabur datang ke Malaysia mereka bukan sahaja akan mendirikan kilang di negara kita bahkan turut membawa masuk teknologi baharu. Selain itu, mereka juga akan menggunakan mata wang negara kita dan seterusnya mengeksport barangan tersebut ke seluruh dunia. Hal yang demikian inilah sekali gus akan menaikkan mata wang negara.


Sumber: Institute of Islamic Understanding Malaysia

Post a Comment

0 Comments