Gambar daripada Berita Harian |
JOHOR BAHRU: Dua beranak yang maut dalam nahas empat kenderaan di Kilometer 18.8, Lebuhraya Pasir Gudang di sini malam tadi, dalam perjalanan menghadiri upacara keagamaan kematian seorang kenalan di Negeri Sembilan.
G Suresh Kumar, 46, berkata ibunya, M Kullamah, 73, bersama adiknya, G Murugan, 45, yang memandu Honda Accord sepatutnya pulang ke kampung halaman mereka di Bahau untuk tujuan itu.
Suresh Kumar berkata, adiknya yang bekerja di Singapura mengambil kesempatan pulang ke rumahnya di daerah sama bagi membuat persiapan sesi baharu persekolahan dua anak lelakinya yang berusia sembilan dan tujuh tahun.
"Adik mahu bawa emak pulang ke Bahau kerana ada orang meninggal.
"Saya juga bekerja di Singapura dan telefon bimbit terpaksa ditutup ketika bekerja, menyebabkan saya baru tahu mereka sudah meninggal dunia.
"Saya sudah lama tidak jumpa emak kerana bekerja di Singapura dan tidak ulang-alik.
"Jika ikut perancangan, Jumaat ini baru jumpa untuk bawa emak pulang ke kampung dan untuk buat persiapan sesi baharu persekolahan anak-anak.
"Oleh kerana ada orang meninggal, adik bawa emak pulang lebih awal tapi sudah jadi begini," katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, hari ini.
Suresh Kumar hadir ke HSI bagi menuntut mayat ibu dan adiknya untuk dibawa pulang ke kampung bagi urusan pengebumian.
Kemalangan jam 11.41 malam tadi mengorbankan tiga nyawa dalam nahas empat kenderaan membabitkan tiga kereta dan sebuah treler.
Seorang lagi yang meninggal dunia di tempat kejadian ialah pemandu Perodua Alza, Chong Chee Ping, 46.
Pemandu Perodua Myvi berusia 40-an dilaporkan cedera manakala pemandu treler berusia 28 tahun cedera di pinggang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata siasatan awal mendapati, treler yang membawa muatan dari arah Tanjung Pelepas ke Pasir Gudang terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh penghadang jalan.
"Treler itu memasuki laluan bertentangan secara melintang sebelum bertembung dengan ketiga-tiga kenderaan terbabit yang datang dari arah Pasir Gudang.
"Tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Kredit:Berita Harian
0 Comments