'Mereka tidak diberikan tempoh yang lama untuk berlatih" - Pihak pengurusan The Gadys

'Mereka tidak diberikan tempoh yang lama untuk berlatih" - Pihak pengurusan The Gadys


KUALA LUMPUR: Kumpulan The Gadys terima kritikan dengan hati terbuka selepas video nyanyian sumbang pada Anugerah KNKV Viral 2024 menjadi tular, baru-baru ini.


The Gadys dianggotai Aznie Azmi, Ayunie Rizal dan Thamiera Cahn itu menjadi perhatian apabila dilihat bergelut menyanyikan lagu medley Cintaku Sampai Ke Ethiopia nyanyian asal Ria Resty Fauzi, Cinta Sampai Mati (Raffa Affar) dan Gadis Dan Bunga (Rahimah Rahim).


Persembahan The Gadys disiarkan menerusi saluran TV2.


Meskipun acara terbabit sudah lebih seminggu berlalu, video persembahan The Gadys tiba-tiba tular dan menerima banyak komen berbaur kecaman.


Wakil pengurusan, Universal Music Malaysia & Valient Music berkata, anggota kumpulan itu menerima kritikan dengan tenang.


Namun, katanya, kesilapan teknikal menjadi salah satu faktor yang mengganggu persembahan pada hari berkenaan.




"The Gadys tenang berdepan dengan kritikan dilemparkan, mereka baca komen, tetapi memilih tidak panjangkan.


"Mereka akui kesilapan dan akan berusaha memantapkan vokal. Mereka ada mengikuti kelas vokal, tapi dengan apa yang berlaku, mereka akan tingkatkan lagi latihan.


"Cuma, apa yang berlaku sebenarnya membabitkan sedikit kesilapan teknikal. Sebenarnya mereka berlatih menggunakan minus one berbeza dengan 'key' lebih rendah.


"Bagaimanapun, pada hari kejadian, produksi menggunakan minus one mereka dengan 'key' lebih tinggi. Apapun, kami tak menyalahkan pihak produksi dan mengakui kekurangan The Gadys," kata wakil pengurusan.


Tambah wakil pengurusan lagi, mereka akan lebih berhati-hati terutama membabitkan siaran langsung yang memerlukan The Gadys menyanyikan lagu penyanyi lain.


"Bukan kata mereka tak nak nyanyi lagu orang lain, tetapi kalau boleh biarlah diberikan tempoh lebih lama untuk berlatih supaya benar-benar bersedia.


"Tiga hari sebelum itu mereka ada buat persembahan di Konsert Hari Radio dengan live band, tapi persembahan lancar, mungkin orang ramai boleh cari dalam YouTube untuk bandingkan.


"Apapun, kami tak salahkan sesiapa dan memang kesilapan daripada pihak kami sendiri.


"Namun, kami harap janganlah terus mengkritik sebaliknya berilah peluang pada The Gadys untuk perbaiki mutu nyanyian," kata wakil pengurusan.


Terdahulu, komposer lama Julfekar terlalu kecewa dengan mutu persembahan kumpulan terbabit.


Julfekar berkata, dia tidak boleh hadap dengan persembahan The Gadys disifatkan bertaraf sekolah.


"Macam buat persembahan di sekolah saja. Macam ini pun boleh lepas buat persembahan?


"Apalah jadi dengan industri muzik kita ini? Sedih," luahnya dalam laman Facebook.


Kredit: Berita Harian

-ADVERTISEMENT-
Ads by


Post a Comment

0 Comments