KUALA LUMPUR - Pernah atau tidak anda membeli makanan basi, atau tertipu dengan imej makanan yang tidak sama dengan dihidangkan di bazar Ramadan?
Menjengah beberapi hari memasuki bulan Ramadan, peniaga makanan di bazar dinasihatkan jujur dalam menyediakan makanan terutamanya dari sudut kualiti dan penjagaan makanan.
Menurut Perunding Kursus Kejuruteraan Makanan, Yusainy Yusop, selain untuk mendapatkan keuntungan, antara matlamat yang penting dalam penyediaan makanan ialah keberkatan daripada pengguna.
"Kepada peniaga-peniaga, salah satu matlamat yang kita nak capai pada berniaga bulan yang mulia, selain jualan, kedua keuntungan dan yang ketiga kita mahu keredaan dan keberkatan yang lebih.
"Jadi kepada peniaga, anda perlu jujur dalam berniaga terutama dari sudut kualiti barangan mentah, penyediaan dan rupa makanan," katanya.
Menurut Yusainy, setiap peniaga bazar Ramadan yang memasak di rumah atau di kedai perlu menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang mematuhi aspek penjagaan makanan.
Ia bagi memastikan pembeli juadah dapat menikmati makanan yang dihidangkan tanpa sebarang komplikasi kesihatan selepas mengambilnya.
"Jangan kita mengambil mudah, kita perlu ada SOP tersendiri bagi memastikan elemen kebersihan, pematuhan kebersihan dan keselamatan makanan dijaga.
"Kita tidak mahu ada kes kesihatan, hingga sebelum ini ada menyebabkan kematian kerana memakan hidangan yang dibeli di bazar Ramadan," tambahnya lagi ketika ditembual dalam program Awani Pagi pada Sabtu.
Kredit: Awani
0 Comments