Alor Setar: "Orang nampak saya kuat tetapi sebenarnya tidak, saya gagahkan diri disebabkan kanser payudara sudah di peringkat akhir. Saya tahu saya akan mati cuma fikirkan anak yang masih kecil," kata Zettyhayat Azizan, 40.
Ibu tunggal itu berkata, dia dikesan menghidap kanser kira-kira setahun lalu selepas melahirkan anak bongsu sebaik menyedari ada ketulan kecil di payudara kanan.
Katanya, selepas itu doktor mengambil sampel darah untuk mengetahui masalah yang dialami namun ketulan itu pecah dan bernanah.
"Selepas menerima keputusan laporan perubatan, doktor mengesahkan saya menghidap kanser payudara tahap empat dan ketika itu saya sangat terkejut kerana tidak menyangka menerima ujian ini.
"Doktor kemudian mengambil sampel nanah dan membuangnya untuk mengelak jangkitan lebih teruk," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gunung Sali, Mergong, di sini, semalam.
Menurutnya, lubang bekas nanah itu pula makin hari semakin besar dan dia hanya bertahan dengan ubat tahan sakit.
Akibatnya, nanah di payudara kanan semakin banyak daripada biasa selain perlu kerap dibersihkan.
"Saya turut mengalami tumpah darah di bahagian payudara kanan sehingga banyak darah keluar menyebabkan saya pucat dan tidak bermaya.
"Saya tidak dapat bekerja dan hanya mampu mengasuh dua kanak-kanak dengan pendapatan RM10 sehari untuk menampung perbelanjaan harian saya dan empat anak.
"Saya tidak mahu menyusahkan sesiapa dan perjalanan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) pun agak mencabar kerana dari rumah saya menunggang motosikal sehingga ke Stesen Keretapi Alor Setar sebelum menaiki komuter sehingga ke Butterworth, Pulau Pinang dan hendak ke HPP saya naik kenderaan e-hailing," katanya.
Zettyhayat berkata, setakat ini dia sudah menjalani 10 kali rawatan kemoterapi iaitu enam kali di HPP dan empat kali di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Katanya, dia yang tinggal di rumah sewa juga terpaksa berharap bantuan ibu bapanya membayar RM350 setiap bulan.
"Saya kini berdepan dengan masalah kewangan selain memikirkan nasib yang saya alami disebabkan keadaan kesihatan yang semakin merosot," katanya.
Kredit: Harian Metro
0 Comments