Senjata rahsia 'Amad Diallo' benam skuad Liverpool

Senjata rahsia 'Amad Diallo' benam skuad Liverpool

 


Kuala Lumpur: "Saya berpuasa kerana Allah." Demikian kata-kata bintang muda Manchester United, Amad Diallo yang masih berbisa di sebalik berpuasa apabila muncul wira meledak gol kemenangan ketika membantu kelabnya menewaskan seteru utama, Liverpool 4-3 pada aksi suku akhir Piala FA, awal pagi semalam.


Pemain antarabangsa Ivory Coast berusia 21 tahun itu nyata mempunyai asas pegangan agama Islam teguh apabila percaya setiap yang berlaku dan kekuatan dimilikinya adalah datangnya atas izin Allah.


"Ya, saya berpuasa hari ini. Tidak mudah apabila anda berpuasa tetapi anda perlu percaya kepada diri sendiri. Saya berpuasa kerana Allah, jadi saya sangat gembira kerana dapat berpuasa. Saya mahu berjuang untuk pasukan jika saya berada di atas padang. Terima kasih kepada Allah untuk saat ini," kata pemain sayap itu ketika ditemuramah selepas tamat perlawanan.


Diallo yang masuk sebagai pemain gantian, meledak gol kemenangan pada hujung masa tambahan di Old Trafford ketika kedudukan semasa terikat 3-3 selepas menerima hantaran cantik Alejandro Garnacho.


Ia sekali gus menafikan hasrat Liverpool untuk cuba menjulang satu lagi piala selepas memenangi Piala Liga pada musim terakhir Jurgen Klopp membimbing kelab itu.


Bagaimanapun Diallo dibuang padang selepas itu kerana melakukan kesalahan kali kedua apabila menanggalkan bajunya selepas menerima kad kuning pertama pada minit ke-116. Kemenangan itu menyaksikan United akan membuat perhitungan dengan Coventry City pada aksi separuh akhir 20 April depan.


Malah kemenangan itu juga meningkatkan lagi reputasi Diallo yang sukar mendapat tempat dalam kesebelasan utama United namun dia menyerlah ketika dipinjamkan ke Rangers dan Sunderland.


"Saya mahu mara selangkah demi selangkah kerana ia amat penting. Sekarang ini saya hanya mahu meraikan detik gembira ini bersama keluarga dan penyokong. Kemudian kita lihat apa yang akan berlaku seterusnya," katanya.


Kira-kira seminggu lalu, Diallo mencetuskan persoalan apabila memadam beberapa hantaran di akaun rasmi media sosialnya terutamanya berkenaan United.


Namun dia pantas memberikan penjelasan bahawa apa yang dilakukannya itu adalah semata-mata untuk menghormati kehadiran bulan Ramadan.


"Saya memadam kandungan di media sosial saya selama sebulan hanya untuk memberi tumpuan kepada Ramadan. Hentikan kebencian, tiada salah dengan apa yang saya lakukan. Ia adalah bulan mulia bagi saya dan media sosial adalah tempat di mana terdapat perkara buruk untuk dilihat semasa berpuasa," katanya.


Pada 2021, Diallo bersama-sama bekas bintang United, Paul Pogba, yang juga beragama Islam, menyatakan sokongan kepada penduduk Palestin apabila bersama-sama mengibarkan bendera Palestin di Old Trafford selepas seri 1-1 dengan Fulham.

Post a Comment

0 Comments