PUTRAJAYA: Tyzo Xander mengumumkan bakal menyertai stesen radio, IKIMfm selepas kontrak dengan Suria FM berakhir, Sabtu ini.
Tyzo atau nama sebenar, Tuah Zolqarnain Idris berkata, hatinya terbuka menerima tawaran IKIMfm selepas mengerjakan ibadat umrah, baru-baru ini.
"Walaupun mengetengahkan konsep berbeza daripada stesen radio yang pernah saya bertugas, namun, dengan pengalaman 21 tahun memberi keyakinan untuk saya buat lebih baik.
"Baru-baru ini, ketika berada di Makkah, saya asyik teringat-ingat tawaran yang diberikan. Selepas sekian lama lebih kepada hiburan, sekarang cuba untuk berubah.
"Saya akan mula bertugas Isnin depan kerana kontrak saya bersama Suria FM hanya tamat, Sabtu ini," katanya pada sidang media penjenamaan semula dan pelancaran logo IKIMfm di Dewan Abdullah Al-Bukhari, Kompleks Nasyrul Quran di sini, hari ini.
Tyzo menambah dia tidak melihat ada kesukaran buatnya menyesuaikan diri dengan konsep radio IKIMfm yang lebih ke arah Islamik.
"Saya fikir tiada masalah untuk saya bertugas di IKIMfm kerana stesen radio itu masih ada unsur hiburan. Cuma, pendekatan mereka berbeza," katanya.
Bakal mengendalikan segmen Inspirasi Pagi, Tyzo akan berganding dengan penyampai asal slot berkenaan iaitu Suffian Amrin dan Luqman Hakim.
Pada 12 Januari lalu, Tyzo mencetuskan kontroversi apabila khidmat sebagai penyampai radio Suria FM, diumumkan berakhir, selepas lapan tahun.
Kredit: Berita Harian
0 Comments