Kuala Lumpur: Polis menahan suami isteri warga tempatan disyaki membekalkan senjata api kepada lelaki warga Israel yang ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini.
Pasangan berusia 42 dan 40 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor, 7.15 malam tadi.
Sebaik ditahan, polis membawa suspek ke kediaman mereka, juga di Kuala Selangor, sebelum menemukan sepucuk pistol dalam sebuah beg galas di dalam Honda Jazz milik mereka.
Berdasarkan maklumat sumber, suspek lelaki dipercayai individu bertanggungjawab membekalkan enam pistol kepada lelaki warga Israel yang memasuki negara ini menggunakan pasport Perancis.
Difahamkan, pasangan terbabit akan direman hari ini untuk siasatan lanjut.
Terdahulu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan di Cameron Highlands, Pahang, yang dipercayai pemandu kepada lelaki Israel terbabit sejak memasuki negara ini pada 12 Mac lalu.
Pada masa ini, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif utama lelaki warga Israel terbabit memasuki negara ini selain tujuannya memiliki enam pistol dan 200 butir peluru.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, pada sidang media mendedahkan penahanan suspek warga Israel berusia 36 tahun di sebuah hotel di Jalan Ampang, Rabu lalu.
Beliau dilaporkan berkata, hasil soal siasat, suspek mendakwa datang ke negara ini untuk mencari seorang individu yang juga rakyat negaranya untuk dibunuh kononnya berkaitan isu keluarga, namun polis tidak mempercayai dakwaan itu.
Kredit: Harian Metro
0 Comments