KUALA LUMPUR: Pelakon Ruhainies menimbulkan salah faham susulan memuat naik video bersama Aliff Aziz di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Menerusi video dimuat naik, kelihatan Ruhainies mengenakan jubah putih dan bertudung, manakala Aliff memakai baju kurta lengkap warna sama sedang membaca doa berdiri di sebelah Ruhainies.
Memberi penjelasan dalam Instagram Story (IGs), Ruhainies berkata, video dimuat naik adalah sesi berdoa sebelum memulakan penggambaran drama Terjerat di KLIA.
"Dalam tempoh kurang 15 minit saya muat naik, video sudah tular di TikTok, IG dan Facebook. Ia menunjukkan betapa teruknya mentaliti kita. Minda anda penuh dengan anasir negatif.
"Itu adalah video berdoa sebelum mula bekerja dan ia menunjukkan dunia ini sudah terlalu tenat dan penuh dengan fitnah serta terlalu banyak berita palsu yang mudah media gula-gulakan kepada netizen tanpa usul periksa demi mengejar tontonan.
"Anda boleh saksikan kru produksi ada di mana-mana bersama walkie talkie mereka dan semua orang tahu kami sedang dalam penggambaran drama bersama," katanya.
Dalam kenyataan sama, Ruhainies menasihatkan orang ramai supaya menjaga lidah dan lisan sempena Ramadan ini.
"Mudahnya manusia sekarang dapat dosa kering. Jaga lidah dan lisan. Hari ini hari Jumaat dan kita berada di bulan Ramadan.
"Mohon muhasabah, pesanan untuk diri sendiri juga. Semoga doa yang baik atau sebaliknya berbalik pada anda juga," katanya.
Kredit: Berita Harian
0 Comments