Sekadar gambar hiasan: Drama Rindu Kasih |
Perkahwinan bukan sahaja penyatuan dua insan tetapi juga dua keluarga. Pasangan sebagai orang baru dalam keluarga sering menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru. Apatah lagi jika keluarga mertua menunjukkan penerimaan yang negatif terhadap kita. Pastinya memberi tekanan emosi di dalam kehidupan berumahtangga.
Antara tanda-tanda mertua toksik:
1. Suka ikut campur segala urusan rumah tangga anak. Anak dan menantu perlu mengikut apa jua keputusan yang diingini mertua. Mertua menganggap anak dan menantu tidak dapat menguruskan kehidupan mereka sendiri.
2. Menolak pendapat menantu dan hanya menerima pendapat anak sendiri. Mertua sebegini sering melihat anak mereka adalah yang terbaik hasil daripada didikan mereka. Sehingga akan terus menyokong walaupun anak membuat kesalahan tanpa menghiraukan perasaan menantu.
3. Mertua yang menganggapmu perlu "sempurna" dari segi kewangan, pengurusan rumah tangga sehingga pengurusan anak. Mertua akan menilai menantu dari segala sudut dan aspek, jika ada yang tidak berkenan pasti menjadi umpatan di belakang.
4. Mertua yang sentiasa mengkritik segala tindakan menantu tetapi berdiam jika kesalahan tersebut dilakukan oleh anak sendiri.
Jika mendapat ciri-ciri mertua di atas, tarik nafas dan bertenang. Terdapat beberapa perkara yang kamu boleh lakukan untuk menyelamatkan rumah tangga daripada dihantui mertua toksik.
1. Pupuk keyakinan diri
Sayangi diri terlebih dahulu. Yakinlah bahawa diri anda juga anak yang sangat berharga di mata keluarga. Jangan membiarkan mertua memandang remeh kepada anda. Pupuk semangat yakin diri bahawa kamu insan yang baik dan sentiasa menginginkan yang terbaik dalam kehidupan.
2. Jangan mudah mengalah
Ini agak sukar dilakukan tetapi tidak mustahil. Ya, kadang-kadang menantu perlu "menebalkan muka" dihadapan mertua. Jangan mudah menyerah sekiranya mertua ingin menjatuhkanmu. Luahkan keinginanmu, walaupun bertentangan dengan kehendak mertua.
3. Belajar memaafkan
Jangan sentiasa memikirkan konflik yang telah terjadi antara anda dengan mertua. Ia akan meningkatkan tekanan emosi dan menjejaskan kehidupan berumahtangga. Belajar memaafkan untuk ketenangan diri sendiri. Percayalah, memaafkan akan memberi kelegaan kepada anda bukan orang lain.
4. Alihkan fokus anda
Jika seringkali berlaku konflik dengan keluarga mertua, alihkan perhatian anda dengan perkara lain. Fokuskan pemikiran anda dengan mengurus suami dan anak. Pastikan ada waktu bersendirian untuk menengankan fikiran dan wujudkan hobi anda kepada sesuatu sehingga melupakan konflik yang berlaku. Jangan kerap mengunjungi mertua, tetapi cukup mengambil berat dari jauh, jaga jarak anda dengan mertua. Hal ini penting dibincangkan dengan pasangan anda, supaya pasangan faham dan bebanan emosi dapat dikurangkan.
5. Jangan meluahkan perasaan dengan mertua toksik
Anda tidak perlu mengadu atau meluah perasaan dengan mertua toksik. Semakin banyak anda mengadu semakin terserlah kelemahan anda. Kelemahan tersebut boleh dijadikan mertua sebagai senjata untuk menjatuhkan anda di kemudian hari.
6. Jangan terlalu berusaha mengambil hati mertua
Ya, Islam mengajar untuk menghormati dan melayani ibu bapa mertua sama seperti ibu bapa sendiri. Tetapi anda perlu tahu batas anda. Jika mertua adalah mertua toksik, layani mereka sewajarnya sahaja. Tidak perlu berusaha terlalu keras untuk mengambil hati mereka, sekiranya mereka sendiri melayanmu dengan layanan kurang baik.
Itulah anatara beberapa tips menghadapi mertua toksik. Jangan mudah menyerah!
0 Comments