"Salah pilih suami"

"Salah pilih suami"

 


Muar: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menjatuhi hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang suri rumah kerana bersubahat dengan suaminya merogol dan meliwat anak kandung, kononnya mahu membuang santau, tiga tahun lalu.


Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman itu selepas wanita berusia 41 tahun itu mengaku bersalah bersubahat dengan suaminya yang juga bapa tiri mangsa berusia 43 tahun.


Suri rumah itu didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 376B kanun sama, selepas bersubahat dengan suaminya merogol mangsa dalam bilik wanita itu di sebuah rumah di Segamat, pada jam 11.30 malam, pada 2021.


Bagaimanapun, suami wanita itu mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, Disember lalu.


Dalam penghakimannya, Abu Bakar berkata, sebagai ibu, tertuduh sepatutnya mempertahankan anak kandungnya daripada diperlakukan sedemikian.


"Kamu (tertuduh) berpeluang untuk menyelamatkan anak-anak, dengan mendapatkan bantuan orang lain, dan bukannya bertindak seperti ini.


"Melihat kepada fakta kes, kamu masih ada ruang dan perbuatan kamu (bersubahat) melebihi kepentingan terhadap anak sendiri," katanya.




Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Berdasarkan fakta kes, mangsa membuat laporan polis pada 8.30 malam, 13 November lalu mendakwa dirogol secara paksa oleh bapa tirinya hampir setiap hari.


Perbuatan dilakukan bapa tiri durjana itu kononnya mahu mengubati penyakit santau dan mangsa juga dirogol walaupun dalam keadaan datang bulan.


Pada mangsa sama, mangsa turut dijadikan 'isteri kedua' bapa tiri durjana itu dan tertuduh memberitahu, perbuatan itu dilakukan kerana bapa tiri mangsa mahu menguatkan ilmu ghaib yang sedang dituntut ketika itu.


Selepas mendengar hujahan dan rayuan tertuduh, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta mengarahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang menjalani hukuman itu mengikut Seksyen 26 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.


Mahkamah juga menggunapakai Seksyen 27 akta sama untuk mengarahkan tertuduh menjalani pengawasan polis sebaik selesai menjalani hukuman penjara.

Post a Comment

0 Comments