Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi tampil dengan penjelasan beliau tidak pernah sesekali menggunakan duit kerajaan negeri untuk membiayai kelab bola sepak Kedah Darul Aman (Kedah) seleoas mereka telah pun diswastakan.
Sanusi sebelum itu menyatakan dana kerajaan negeri hanya disalurkan kepada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sahaja selaku badan bola sepak negeri tersebut dan melalui badan itu juga sumbangan sebanyak RM16 juta turut diberikan kepada Kedah sejak ia ditubuhkan beberapa tahun lalu.
Kedah kini menjadi antara pasukan di Malaysia yang mempunyai krisis kewangan selepas beberapa isu tunggakan gaji berlaku sehingga mencalarkan imej kelab tersebut di mata penyokong tempatan.
Malah, Kedah juga diancam dengan pelbagai kemungkinan jika mereka masih gagal untuk menyelesaikan segala tunggakan pada tahun lalu menurut tarikh yang ditetapkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Ketika ini, segelintir peminat turut mempersoalkan di media sosial mengapa kerajaan negeri tidak memberi bantuan sepatutnya kepada kelab tersebut demi meringankan beban mereka sebelum saingan liga bermula.
Tampil dengan penjelasan terbaharu, Sanusi mengakui KFA sebelum itu sudah pun memberi dana sebanyak RM16 juta untuk meringankan beban kelab tersebut dan menafikan dirinya langsung tidak memberi sebarang sumbangan.
“Saya tak guna duit kerajaan untuk bayar gaji bola sepak, sama juga tak guna duit kerajaan negeri untuk bayar gaji kerja dalam syarikat.
“Selama ni kita bantu KDA FC melalui KFA. Dari mula KDA FC ditubuhkan sampai sekarang ni, KFA sudah bantu KDA FC sebanyak RM16 juta, ingat sikit ka? dan lepas tu ada yang kata kita tak tolong.
“Polisi itu sangat mudah. Duit bola kita cari duit lain. KFA ada dan sudah tolong dengan jumlah RM16 juta sejak dulu dan sampai la ni pun masih lagi tolong. Jumlah diberi pun juta la bagi baru ni, tapi saya tak mau bising,” kata Sanusi menerusi perkongsian Berita Harian.
Pada masa sama, Sanusi turut mempersoalkan jumlah sumbangan itu sepatutnya lebih bermanfaat jika digunakan kepada anak yatim berbanding Kedah.
“RM16 juta kalau diberi kepada anak yatim macam ni cuba bayangkan tengok, kalau kita banding dengan kegunaan untuk bola mana lebih afdal? tentulah anak yatim,” kata beliau lagi.
Seterusnya, Sanusi tidak menolak kemungkinan besar penaja turut akan terkesan untuk cuba menyertai Kedah pada saingan akan datang selepas KFA sebelum itu pernah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada awal tahun ini.
“Bola ni kalau kita cari duit nanti SPRM mai cekup (tangkap), yang tu pun saya hangat hati jugak. Di seluruh dunia ni semua persatuan bola sepak dan sukan cari sumbangan, macam-macam cara la orang mai menyumbang dan tu pun depa mai cekup kita.
“Kalau nak bermain politik juga dalam sukan, itu yang susah dan boleh membunuh bola sepak,” kata Sanusi akhir sekali.
Selain Kedah, sebelum itu beberapa kelab laim turut mengalami isu tunggakan gaji termasuk Kuala Lumpur City (KL City).
0 Comments