"Semuanya rekaan" - Muaz tiada niat jadi perosak rumah tangga Bella, Aliff

"Semuanya rekaan" - Muaz tiada niat jadi perosak rumah tangga Bella, Aliff


KUALA LUMPUR: Pelakon Muaz Zabir mengakui kesilapannya kerana terbabit dengan dakwaan menjalinkan hubungan sulit dengan Bella Astillah seperti yang tular baru-baru ini.


Tidak berniat menjadi perosak rumah tangga orang lain, Muaz atau nama sebenarnya, Muaz Mohamad Zabir menjelaskan hubungan tersebut sengaja direka demi menarik perhatian suami Bella, Aliff Aziz.



"Saya tak nafikan memang betul apa yang dikatakan Bella. Memang betul kami pernah rapat.


"Hal ini sebenarnya sudah selesai pada tahun lepas. Kami mendapat kata sepakat daripada keluarga Bella dan Aliff untuk 'move on' daripada apa yang terjadi.


"Pada awalnya, saya menjadi pendengar keluhan Bella. Saya diberitahu bahawa Bella ingin membuat Aliff cemburu.


"Sebagai rakan, saya ingin membantu Bella. Saya tidak berniat nak memporak-perandakan rumah tangga orang lain.


"Ini salah saya. Keluarga Bella tak salah dan mereka tidak tahu. Lebih baik, saya berdiam diri.


"Saya tak berniat nak masuk campur. Saya kasihan dengan Bella mengenai apa yang terjadi," kata Muaz menerusi temubual bersama program Melodi, hari ini.


Tambah pelakon Iskandar Chempaka itu, kontroversi yang berlaku itu turut memberi pengajaran berharga buat dirinya.


"Cerita ini sangat memberi tekanan kepada saya dan Bella sendiri.


"Saya tidak dapat menghalang persepsi masyarakat, itu adalah hak mereka atas kekhilafan saya.


"Saya belajar daripada kesilapan dan tak akan lari. Saya mohon maaf kepada keluarga saya dan Bella. Doakan saya menjadi lebih baik," luahnya.


Dakwaan mempunyai skandal dengan Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah timbul apabila seorang pengguna TikTok dikenali @edisiumat memuatnaik beberapa tangkap layar didakwa perbualan dan foto mereka.


Hubungan terbabit didakwa sudah berlangsung sejak Oktober tahun lalu selain mereka kerap berkongsi foto rutin harian dalam mesej yang dihantar.


Bella kemudian menjelaskan hubungan yang terjalin di antara mereka hanya sekadar rekaan untuk membuatkan suaminya berasa cemburu.

Kredit: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments