Shah Alam: Keadaan ekonomi semasa tidak mempengaruhi industri kenderaan sewa berikutan permintaannya tinggi pada musim perayaan ini terutama bagi mereka yang mementingkan keselesaan semasa pulang ke kampung halaman yang jauh.
Pemilik Dino Car Rental, Hafiz Johari, 39, berkata, dia beralih kepada perkhidmatan itu berikutan permintaan masih tinggi terutama ketika musim perayaan dan cuti sekolah selepas syarikat elektriknya berakhir ketika era Covid-19.
Menurutnya, dia menawarkan perkhidmatan sewa kereta itu bersama tujuh rakan kongsi sejak lebih dua tahun lalu.
"Saya hanya bermula dengan kereta sendiri iaitu Perodua Axia dan Perodua Bezza sebelum semakin lama semakin berkembang maju.
"Apabila melihat potensi industri ini, saya dan rakan kongsi tidak menoleh ke belakang sebaliknya memperluaskan perkhidmatan kami kepada sewa kenderaan dengan pemandu," katanya.
Untuk membolehkan semua golongan mampu menggunakan khidmat itu, mereka menawarkan enam kategori segmen bermula dari kadar sewa RM100 sehari kepada RM5,000 sehari bergantung kepada kemampuan pelanggan.
"Kita ada enam kategori iaitu bajet, pertengahan, mewah, gaya hidup, kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan pelbagai guna (MPV).
"Harganya serendah RM100 sehari sehingga RM5,000 sehari dengan memberikan diskaun pada hari biasa untuk pelanggan yang membuat tempahan selama tujuh hari.
"Semasa musim perayaan, semua segmen ada permintaan tetapi paling menjadi pilihan ialah Toyota Vellfire dan Toyota Alphard yang seawal Januari lalu sudah habis ditempah kerana reka bentuk yang luas dan lebih selesa untuk perjalanan jauh terutama jika membawa keluarga ramai dan warga emas," katanya.
Katanya, kereta tempatan seperti Perodua Bezza, Perodua Axia, Perodua Myvi dan Perodua Alza antara yang menjadi pilihan untuk perantau pulang ke kampung halaman berikutan harganya lebih berpatutan.
"Ada juga yang mementingkan gaya, mereka sanggup membayar mahal antara RM1,500 ke RM5,000 sehari untuk menyewa kenderaan mewah seperti Ford Mustang, BMW, Mercedes-Benz, Mercedes G63, Porsche dan Lamborghini.
"Bagi mereka yang bekerja di luar negara pula, biasanya akan menempah bagi tempoh lebih lama sehingga sebulan ketika pulang cuti beraya," katanya memaklumkan semua kenderaan mereka habis ditempah untuk Aidilfitri ini.
Kredit: Harian Metro
0 Comments