Ulu Tiram: Bakat Nayla Ruzzara Mohd Hairi mendendangkan lagu Air Mata Syawal nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza mendapat perhatian netizen di media sosial yang memuji nyanyian kanak-kanak itu.
Malah, netizen tidak menyangka Nayla Ruzzara baru berusia 10 tahun kerana boleh menyanyi lagu berkenaan yang dikeluarkan pada 2003 dengan baik, malah video nyanyian anak bongsu daripada dua beradik itu meraih 7.8 juta tontonan.
Nayla Ruzzara berkata, dia minat menyanyi dan turut membuat penstriman langsung bersama ibu di TikTok untuk menghiburkan pengikut di akaun sosial berkenaan.
"Ketika video itu dirakam, saya sedang bermain slime sambil menyanyi santai. Saya tidak tahu ibu rakam video itu. Saya minat Siti Nurhaliza dan lagu raya itu antara lagu kesukaan saya, malah saya mahu jadi sepertinya," katanya.
Ibunya, Aznul Umaira Mustafa, 35, berkata, dia dan suami menyokong minat Nayla Ruzzara dalam bidang nyanyian dan mengakui akaun TikTok menjadi landasan untuk mengetengahkan bakat anak mereka.
Bagaimanapun, katanya, dia tetap mengawal aktiviti anaknya dan mereka akan membuat penstriman langsung selepas anak selesai melakukan kerja sekolah selain ulang kaji pelajaran.
"Nayla Ruzzara suka menyanyi sejak berusia lima tahun dan Alhamdulillah, dia sudah ada peminatnya sendiri di TikTok. Kami berterima kasih dengan sokongan netizen yang menyukai nyanyiannya," katanya yang menetap di Bandar Tiram, di sini.
Katanya, dia tidak menyangka video nyanyian lagu Air Mata Syawal itu meraih jutaan tontonan.
"Dia suka menyanyikan lagu seperti Putus Terpaksa (Ziana Zain) dan Tiada Tangis Lagi (Ella) malah sudah mempunyai single sendiri iaitu Sandiwaramu ciptaan komposer, Rizz Edisi dan lirik oleh Zam Meletop.
0 Comments