Yusof reda Syamsul tak balik beraya

 



KUALA LUMPUR: Datuk Yusof Haslam reda anaknya, Syamsul, tidak pulang menyambut Aidilfitri di kediaman keluarga.


Yusof berkata, beliau dan isteri tidak ambil hati atas perkara itu, sebaliknya, menerima apa yang berlaku sebagai qada dan qadar.

"Syamsul tidak balik beraya dengan kami, tahun ini. Tetapi, tidak apa. Kami tak ambil hati pun dan sudah boleh terima perkara ini. Semua ini adalah qada dan qadar.


"Tetapi, saya percaya, Syamsul seorang anak, kasih sayang dia pada ibu dan ayah tetap utuh.


"Biasalah, budak muda merajuk, bukan? Tetapi kami tidak ambil hati," katanya ditemui Harian Metro pada majlis tayangan perdana filem Sheriff arahan anaknya, Syafiq di GSC MidValley di sini, malam tadi.


Awal bulan lalu, Yusof mendedahkan Syamsul tidak menghubungi dirinya mungkin agak sibuk dengan pembikinan filem.


Yusof dilaporkan berkata, beliau faham dengan situasi itu kerana Syamsul mungkin sibuk dengan pembikinan filem baharu arahannya, Original Gangster, yang bakal ditayangkan, akhir tahun ini.


Yusof berkata, beliau dan isteri sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Syamsul.


"Tidak ada ayah atau orang tua yang mahu melihat kejatuhan anaknya," katanya.


Yusof berkata, sebagai bapa, dia perlu matang untuk berdepan dengan situasi yang melanda keluarganya.


Sementara itu, Yusof berkata, biarpun hubungan antara Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin dan Syamsul sudah berakhir, ukhuwah yang terjalin berkekalan sampai bila-bila.




Yusof berkata, beliau dan isteri, Datin Patimah Ismail masih mengekalkan hubungan baik dengan kedua besannya, iaitu Megat Kamaruddin dan Paridah Puteh.


"Hubungan keluarga saya dan keluarga Puteri Sarah tak akan pernah berakhir. Ukhuwah yang terjalin itu akan berkekalan sehingga ke akhir hayat.


"Bahkan sehingga ke hari ini, hubungan saya dan besan baik-baik sahaja. Ada masa kami akan keluar makan bersama... Tiada apa yang berubah pun.


"Biarpun anak-anak kami sudah berpisah, namun, tidak wujud jurang antara kami. Apatah lagi, kehadiran cucu mengeratkan lagi hubungan kami," katanya.




Yusof berkata, beliau dan isteri terbuka hati jika Puteri Sarah memilih berkahwin lain pada masa yang akan datang.


"Bagi saya itu jodoh dia. Kalau Syamsul pun ada jodoh dia (yang lain), Sarah ada jodoh dia. Apa yang berlaku semuanya adalah ketentuan Allah SWT.


"Kami reda. Kita bukanlah hendak buang Sarah kalau dia kahwin lain. Dia masih boleh beraya bersama kami," katanya.


Kredit: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments