15 tahun selepas Noordin Mohd Top disemadikan, Jemaah Islamiyah muncul kembali di Ulu Tiram

15 tahun selepas Noordin Mohd Top disemadikan, Jemaah Islamiyah muncul kembali di Ulu Tiram


Kuala Lumpur: "Masalah keganasan itu tidak akan hilang dengan kematian seorang, orang itu tidak penting tetapi fahamannya…Apa yang ada di dalam otak dan hati itu adalah lebih berbahaya dan boleh menjadi ancaman jika dibiarkan."


Itu kata-kata bekas pemimpin kanan Jemaah Islamiyah (JI) Nasir Abbas dalam temu bual bersama Bernama hampir 15 tahun lepas, selepas kematian warga Malaysia Noordin Mat Top, ketua kumpulan serpihan radikal dikenali Tandzim Al-Qoidah Indonesia, yang maut dalam operasi pasukan khas anti keganasan Indonesia Detasmen Khusus 88 di Kepuhsari, Solo, Jawa Tengah pada 17 Sept 2009.


Nasir merupakan Ketua Mantiqi III JI yang bertanggungjawab terhadap operasi kumpulan pengganas itu di Labuan, Sabah, selatan Filipina dan Sulawesi sebelum ditangkap oleh pihak berkuasa Indonesia pada 2003 dan dipenjara selama 10 bulan.


Selepas keluar daripada penjara, warga Malaysia itu telah bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia dalam program deradikalisasi bagi membantu rakan-rakannya yang lain untuk meninggalkan fahaman militan dan ekstremisme.


Justeru adalah tidak mengejutkan apabila selepas lebih satu dekad jasad pengganas nombor satu Asia itu disemadikan di Pontian, Johor, fahamannya masih 'hidup', malah kata-kata Nasir itu seakan menjadi realiti apabila Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain hari ini memaklumkan suspek lelaki yang ditembak mati dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram di Johor awal pagi tadi, dipercayai anggota kumpulan JI.

Post a Comment

0 Comments