2 pegawai kanan polis didakwa terima rasuah RM1.25 juta tutup kes beli senjata api oleh warga Isr@el




Kuala Lumpur: Ketua Penolong Pengarah Siasatan Perakaunan Forensik dan Ketua Unit Siasatan Jenayah Cryptocurrency, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.25 juta untuk menutup kes jenayah membabitkan seorang suspek berkaitan pembelian senjata api oleh warga Isr@el.


Bagaimanapun, tertuduh, Asisten Komisioner Chin Khiam Kong, 54, dan Deputi Superintendan Suhairon Abdullah, 42, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Hakim Azura Alwi.


Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama sebagai pegawai sesuatu badan awam iaitu Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia dalam mencapai niat bersama secara rasuah bersetuju dan menerima suapan iaitu wang tunai sebanyak RM1 juta daripada Khoo Zixian, 28, sebagai dorongan membantu menutup siasatan jenayah ke atas lelaki itu berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 120 Kanun Keseksaan [Akta 574].


Kesalahan itu dilakukan di Bilik Mesyuarat, Bahagian Siasatan Perakaunan Forensik/Cryptocurrency, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Tingkat 30, Menara KPJ, No 238, Jalan Tun Razak, di sini pada jam 12 tengahari hingga 1 petang, 8 April lalu.


Oleh itu mereka didakwa di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694].


Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata tiga pegawai berpangkat ACP, DSP dan Inspektor dari JSJK Bukit Aman, ditahan di sekitar Jalan Tun Razak di sini, bagi membantu siasatan kes pemerasan RM1.25 juta.


Selain itu, dua lagi turut ditahan ialah masing-masing seorang Inspektor dan Sarjan. Berikutan penahanan lima individu terbabit, polis kemudian memberkas seorang Lans Koperal yang berkhidmat di jabatan sama.


Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan polis kerana disyaki melakukan pemerasan terhadap individu yang disiasat oleh mereka berhubung kes mata wang kripto.


Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Undang-Undang/Pendakwaan (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.


Kredit: Harian Metro

Post a Comment

0 Comments