Memiliki rumah sendiri merupakan impian sesiapa sahaja terutama golongan muda yang bekerjaya.
Maka tidak hairanlah apabila ramai yang terjerat hutang di awal usia sehingga mengalami kesukaran untuk menjalani kehidupan seharian.
Perkara sama dialami lelaki ini selepas dia membuat pinjaman kewangan bagi membeli rumah idaman selepas berjaya mendapatkan pekerjaan.
Mengimbau kembali kisah pada 2007, Wan Zullnaidi berkata, ketika itu dia berusia 25 dan baru memulakan kerjaya.
"Ini mungkin akibat serik berpindah randah sejak kecil. Disebabkn gaji ayah yang kecil dan tak mampu membuat pinjaman perbankan," ujarnya di laman X.
Menurutnya, bagi memudahkan urusan pinjaman, dia pada awalnya membuat permohonan kad kredit supaya institusi kewangan melihat kemampuan kewangan menerusi bayaran balik pinjaman.
Susulan daripada itu, dia berjaya mendapatkan pinjaman kewangan bagi membeli sebuah rumah di Taman Dagang, Ampang di Selangor pada harga RM280,000.
Memiliki kediaman sendiri merupakan impian kebanyakan golongan muda. -Gambar hiasan |
"Bayar installment pada masa itu adalah RM1,800 sebulan dan tanpa sedar faedah bulanan adalah RM1,600 manakala hutang pinjaman adalah RM200.
"Bayaran awal memang okay sehingga ditimpa susah dan terlepas bayaran beberapa bulan. Rupanya, bank ada kuasa naikkan kadar faedah tanpa memaklumkan dan jumlah baharu RM1,800.
"Jadi bayaran bulanan sebanyak RM1,800 setiap bulan adalah untuk faedah semata-mata dan tidak termasuk hutang pinjaman," katanya.
Menurut Wan Zullnaidi, dalam tempoh tersebut dia dihubungi institusi perbankan yang menyatakan mereka berbesar hati untuk turunkan bayaran bulanan kepada RM1,600 bagi memudahkannya membuat bayaran.
Bersetuju dengan tawaran yang diberikan itu, dia bagaimanapun terkejut apabila mendapat penyata tahunan selepas kira-kira empat tahun membuat bayaran seperti dijadualkan.
Ia berikutan nilai pinjamannya bukan sahaja tidak berkurang malah semakin bertambah.
Menjelaskan mengenai situasi yang berlaku, ujarnya, ia berikutan dia dianggap berhutang sebanyak RM200 setiap bulan apabila bayaran bulanan adalah RM1,600 manakala faedah RM1,800.
Semakan penyata pinjaman perlu dilakukan bagi memastikan jumlah bayaran terkini. -Gambar hiasan |
"Apabila hutang bertambah, interest pun bertambah kerana ia adalah faedah atas baki hutang. Daripada RM1,600 kepada RM1,800 dan seterusnya RM2,000 dan RM2,200 setiap bulan.
"2011 baru sedar hutang yang diambil hanya RM250,000 telah berkembang menjadi RM300,000," katanya lagi.
Situasi yang berlaku itu membuatkan dia cuba bertemu dengan pengurus bank berkaitan.
Ujar Wan Zullnaidi, dia kemudian ditemukan dengan seorang pegawai bank yang berkongsikan penyelesaian untuk masalah yang dialami.
"Menyedari memang terperangkap hutang sampai kiamat, saya nekad mencari solusi dan insaf... saya mula masukkan semua pendapatan saya untuk bayar amaun prinsipal.
"Bayaran perlu dibuat di kaunter dan kena nyatakan untuk amaun prinsipal kerana jik dibayar melalui transaksi atas talian, jumlah lebihan itu akan disimpan sebagai installment seterusnya," ujarnya yang kini berjaya keluar 'perangkap' bank.
Dalam pada itu, dia turut menasihati anak muda yang ingin membuat pinjaman kewangan untuk membeli aset supaya memeriksa berapa kadar faedah berbanding bayaran prinsipal setiap bulan.
Malah dia juga berharap supaya bayaran prinsipal diutamakan terlebih dahulu berbanding keinginan untuk hidup mewah mahupun bercuti.
0 Comments