Kuala Lumpur: Pelakon, Zara Zya, 39, kini dirawat di sebuah pusat perubatan, di sini, sejak Isnin lalu selepas dikesan menghidap dua sindrom iaitu Cervical Facet Syndrome dan Lumbar Facet Syndrome.
Zara ketika dihubungi berkata, dia pada awalnya menjalani pemeriksaan artritis, namun dinasihatkan supaya ditahan dan dirawat di hospital untuk pemeriksaan lanjut.
"Awalnya, saya sekadar nak buat pemeriksaan untuk masalah artritis saya saja, tapi doktor sarankan untuk saya ditahan dan dirawat di hospital untuk pemeriksaan lanjut.
"Selepas dilakukan ujian MRI (pengimejan resonans magnet), barulah dapat tahu ada masalah lain di bahagian leher saya.
"Doktor kemudian mengesan penyakit itu sebagai Cervical Facet Syndrome dan Lumbar Facet Syndrome di bahagian belakang.
"Dari situ juga turut dimaklumkan bahawa poliartritis yang saya hidapi boleh mengakibatkan dua sindrom itu berlaku," katanya.
Ditanya mengenai keadaan terkininya, pelakon drama Risik Pada Hati itu berkata, keadaannya stabil walaupun ada sedikit rasa sakit di bahagian leher.
"Setakat ini, saya dalam keadaan baik-baik saja. Cumanya, ada rasa sakit di bahagian tertentu yang berkaitan dengan sendi terutamanya di bahagian leher," katanya.
Setakat ini, Zara masih belum dimaklumkan mengenai berapa tempoh masa perlu ditahan dan dirawat di hospital.
"Setakat ini, doktor belum maklumkan sampai bila saya perlu dirawat di hospital memandangkan saya perlu melalui beberapa sesi fisioterapi.
"Cumanya, semalam doktor berikan pelepasan untuk saya keluar sekejap memandangkan ada urusan kerja membabitkan pelanggan. Tapi, bukanlah kerja berat. Selepas selesai, saya kembali semula ke hospital," katanya.
Cervical Facet Syndrome atau sindrom sendi faset leher adalah salah satu punca yang paling biasa bagi kesakitan leher.
Sendi faset adalah sendi kecil di bahagian belakang (aspek posterior) tulang belakang dan mudah terdedah kepada kecederaan, keradangan, dan degenerasi.
Lumbar Facet Syndrome pula merujuk kepada keadaan klinikal yang terdiri daripada pelbagai gejala termasuk kesakitan belakang unilateral atau bilateral yang memberi kesan sakit ke salah satu atau kedua-dua punggung, sisi pangkal paha, dan paha, hingga bahagian atas lutut.
Kredit: Harian Metro
0 Comments