Anak tidak sah taraf sah berkahwin dengan bapa biologinya? - Ini penjelasan Mufti

Anak tidak sah taraf sah berkahwin dengan bapa biologinya? - Ini penjelasan Mufti



Berdasarkan mazhab Imam al-Syafie, anak zina tidak sabit nasab kepada bapa biologinya sehingga ia harus berkahwin dengan bapa biologinya walaupun hukumnya makruh.


Mazhab lain seperti mazhab Abu Hanifah, mengharamkan perkahwinan antara anak zina dan bapa biologinya sekalipun tidak menasabkan anak perempuan itu kepada bapa biologinya. Rujuk al-Mu`amad fi al-Fiqh al-Syafie (4/29) oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili; al-Majmu` Syarh al-Muhadzdzab (16/222).   


Perlu diketahui bahawa keharusan berkahwin dengan bapa biologi itu hanya berlaku disebabkan ketidaksabitan nasab. Namun demikian, jika terdapat sebab pengharaman nikah daripada sudut penyusuan atau musaharah (persemendaan/ perkahwinan) maka di sana terdapat pengecualian seperti berikut:


  • Jika seorang anak zina itu disusukan oleh seorang wanita sedangkan wanita itu mempunyai suami, maka anak tersebut akan menjadi anak susuan bagi lelaki tersebut kerana faktor Labn al-Fahl (Susu Jantan). Rujuk al-Mu`tamad (4/34). Menurut ulama Syafieyyah, susu wanita itu jika terhasil akibat mengandung dalam perkahwinan yang sah dengan seseorang lelaki, maka susu itu akan mengharamkan bayi-bayi perempuan yang disusukan oleh wanita untuk berkahwin dengan suaminya. Adapun jika susu itu terhasil daripada perkahwinan lain atau zina, maka itu tidak mengharamkan. Rujuk al-Majmu` (18/222).   

  • Jika seorang wanita yang mempunyai anak susuan kemudian wanita berkenaan berkahwin dengan seorang lelaki, maka lelaki itu juga menjadi mahram kepada anak susuan wanita itu apabila dia bersetubuh dengan wanita itu selepas nikah. Ini dinamakan pengharaman secara musaharah dan penyusuan. Anak perempuan itu diistilahkan sebagai al-Rabibah bil al-Rada`. Rujuk al-Mu`tamad (4/35).

  • Apatahlagi, sekiranya seorang anak zina yang ibunya yang tsabit nasabnya dengan anak itu secara wiladah (kelahiran) lalu dia berkahwin dengan seorang lelaki, maka lelaki itu adalah ayah tirinya apabila dia sudah bersetubuh dengan ibunya dalam pernikahan yang sah. Ini dinamakan pengharaman secara musaharah (persemendaaan/ perkahwinan). Rujuk al-Mu`tamad (4/32).





Justeru, hukum asal perkahwinan antara anak zina dengan ayah biologinya adalah dibolehkan tetapi faktor penyusuan dan persemendaan (perkahwinan) boleh mengharamkan perkahwinan antara mereka berdua. Manakala anak-anak lelaki lain yang lahir daripada perkahwinan tersebut juga adalah mahram dengan anak zina itu disebabkan oleh nasab (saudara seibu). Namun, daripada sudut perwalian, anak zina tersebut tidak boleh berwalikan bapa biologinya kerana hak wali telah gugur daripadanya. 

Bolehkah anak zina berBin atau Bintikan bapa biologi?                                                   

  • Anak yang tak sah taraf dinisbahkan kepada Abdullah atau mana-mana nama yang dimulakan dengan Abdu seperti “bin Abdul Ghani” “bin Abdul Rahman” “bin Abdul Latif”

  • Nasab anak sabit kepada ibunya dalam semua keadaan samada kelahiran syar’ie atau tidak seperti ‘Isa bin Maryam, Muhammad bin bintu Syafie

  • Nasab anak dinisbahkan kepada ayahnya seperti “Ziyad bin Abihi”

Kami tegaskan di sini bahawa anak yang tidak sah taraf bukanlah hina dan tiadalah ia berdosa kerana kesilapan yang dilakukan oleh kedua orang tuanya. Ini kerana prinsip Islam, seseorang tidak menanggung dosa orang lain. Justeru, hendaklah kita menghormati hak dan privasinya kerana dia tetap manusia yang kemuliaan di sisi Allah berasaskan siapa yang paling bertakwa antara kita


Perhatikan bagaimana Allah SWT menyuruh kita berkelaku dengan orang yang tidak diketahui bapanya dalam Surah al-Ahzab ayat ke lima yang bermaksud: “Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seugama.” 


Ertinya, jadikanlah anak-anak tidak taraf ini sebagai warga istimewa dalam masyarakat dengan memberikan pendidikan yang cukup, nafkah dan memberdayakan mereka supaya mereka tidak terkesan dengan tragedi menimpa diri mereka kerana mereka dianggap sebagai keluarga oleh masyarakat Islam.


Kredit: Mufti Wilayah

Post a Comment

0 Comments