KUALA LUMPUR: Penyanyi pop popular dari Amerika Syarikat (AS), Ariana Grande mencuri tumpuan apabila berkongsi pautan untuk orang ramai menyalurkan sumbangan kepada Palestin menerusi hantaran Instagram Story (IGs).
Penyanyi Amerika-Latin itu sekali gus menjadi bualan di internet apabila tindakannya mempromosikan petisyen derma untuk membantu rakyat Palestin yang berhadapan pembantaian rejim Zionis.
Memetik laporan Celebs Arabic, selepas Grande berkongsi
petisyen berkenaan di IGs, tabung yang menggunakan nama 'Tabung Bantuan
Kanak-kanak Palestin' itu berjaya memperoleh lebih 40,000 USD (RM188 juta).
Sebelum itu, Grande menyatakan sokongannya terhadap
Palestin dengan menandatangai surat gencatan senjata untuk masyarakat Gaza
iaitu 'Ceasefire4Gaza' bersama penyanyi Drake dan Dua Lipa kepada Presiden AS,
Joe Biden.
Turut dilaporkan, antara nama lain yang menandatangani
surat itu adalah model berketurunan Palestin, Bella Hadid dan Gigi Hadid;
pelakon Andrew Garfield, Ben Affleck, Bradley Cooper, Channing Tatum, Florence
Pugh, Frank Ocean, Jennifer Lopez, Jeremy Allen White, Joaquin Phoenix,
Macklemore, Rachel McAdams, Tom Hardy serta Zayn Malik.
Menerusi tinjauan dalam media sosial, rata-rata aktivis
pro-Palestin menyatakan sokongan kepada Grande kerana menyebarkan kesedaran
mengenai perkara itu, selain berharap wang sumbangan diterima akan sampai
kepada penduduk Gaza.
Sehingga artikel ini ditulis, pencerobohan berterusan
Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober tahun lalu sudah mengakibatkan pembunuhan
lebih 36,000 rakyat Palestin yang terdiri daripada kanak-kanak (tidak termasuk
yang tertimbus di bawah runtuhan), seperti dilaporkan kementerian kesihatan
Gaza.
Selain itu, sekurang-kurangnya 81,000 rakyat Palestin
sejak 7 Oktober tahun lalu cedera akibat pengeboman berterusan dilakukan Israel
menyebabkan ramai penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dan kekurangan zat
makanan.
Kredit: Berita Harian
0 Comments