Bahana guna Waze, pemuda ditemui menangis selepas sesat 6 jam dalam hutan

Bahana guna Waze, pemuda ditemui menangis selepas sesat 6 jam dalam hutan


Waze sudah menjadi satu aplikasi penting di dalam kehidupan kita kerana menjadi panduan arah ke sesuatu ke lokasi. Namun, kita masih diingatkan untuk tidak terlalu bergantung dengannya kerana ada kala ia tidak tepat.


Menurut laporan Sinar Harian, seorang penunggang motosikal menghadapi detik cemas apabila sesat kira-kira enam jam dalam hutan di Felda Teloi Kanan, Kuala Ketil, Kedah angkara menggunakan aplikasi Waze untuk pulang ke rumah abangnya di Sungai Petani.




Difahamkan lelaki berusia 32 tahun dikatakan bekerja di Pulau Pinang, namun baharu selesai beraya di rumah rakannya di Sungai Lalang.


Dia bagaimanapun bercadang mahu menumpang tidur di rumah abangnya di Sungai Petani dengan berpandukan aplikasi trafik Waze, namun tersesat sehingga masuk ke kawasan hutan kira-kira jam 1 pagi.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian setelah dihubungi mangsa kira-kira jam 7 pagi.




Menurutnya, berpandukan arah penduduk kampung, pihaknya cuba menjejaki mangsa yang tersesat.


“Sehingga jam 7 pagi, mangsa cuba mencari kawasan yang boleh dihubungi seterusnya membuat panggilan kecemasan meminta bantuan bomba,” katanya.


Menurut Zulkhairi, setelah operasi mencari dan menyelamat dilakukan, mangsa ditemui pada jam 8.10 pagi jauh ke dalam hutan lebih kurang 10 kilometer dari jalan raya dalam keadaan lemah, terketar-ketar dan menangis akibat panik dan kebingungan.


“Kita memberi rawatan awal dan menenteramkan mangsa, seterusnya dihantar ke Klinik Kesihatan Felda Teloi Timur dan dirujuk kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.




Kredit Vocket

Post a Comment

0 Comments