Tanggal 16 Mei setiap tahun begitu istimewa kerana
para pelajar mengambil peluang meraikan insan bernama guru dengan ucapan
penghargaan dan pemberian hadiah.
Sempena Hari Guru, bermacam kisah
dan kerenah pelajar dalam usaha menghargai guru kesayangan masing-masing dapat
kita lihat dikongsikan di media sosial.
Namun, hantaran seorang guru
Bahasa Inggeris, Jasli Jamil di laman X pada Khamis meraih perhatian apabila
dia menerima hadiah sejadah dan tasbih digital daripada seorang anak didiknya.
Walaupun menghargai pemberian ini, tetapi hadiah yang diberikan murid di sebuah
sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini dirasakan tidak sesuai dengan
agamanya.
"Anak murid bagi sejadah dan
tasbih digital.
"Masalahnya cikgumu kafir
nak..." jelasnya dalam ciapan dikongsikan di X.
Selepas perkongsiannya menjadi
tular, Jasli menjelaskan situasi sebenar dengan berkongsi tangkap layar
perbualan dengan murid tersebut.
Menurut Jasli, dia menerima hadiah tersebut daripada pelajar kelas lain.
"Saya sudah jelaskan tau
semua petang tadi (Khamis). Ini bukan kali pertama juga. Saya tak larat nak
terangkan dekat murid yang saya tak mengajar.
"Kalau budak bagi salam, saya
jawab je sebab ustaz-ustaz pun cakap tak salah," katanya menjelaskan
keadaan.
Menerusi perbualan Jasli di
WhatsApp bersama pemberi hadiah itu, murid berkenaan dilihat meminta maaf atas
salah faham yang berlaku.
Difahamkan, kekeliruan timbul
apabila guru tersebut memiliki wajah seperti orang Melayu ditambah pula dengan
namanya, Jasli bin Jamil.
Kalau budak bagi salam,
saya jawab je sebab ustaz-ustaz pun cakap tak salah.
Jasli Bin Jamil |
"Ye la sir muka sudah
macam Islam dan nama pun sama tu yang saya keliru," jelas pelajar
tersebut.
Jasli turut memaklumkan mengenai
asal usulnya yang mana dia merupakan Orang Asli.
"Ramai tanya asal usul saya.
Saya Orang Asli. Nama diberi Jasli bin Jamil.
"Memang ada bin semua adik
beradik. Arwah ayah saya pun berbinkan datuk saya," katanya.
Hantaran dibuat ini meraih
perhatian pelayar di X yang memberikan cadangan kepada Jasli.
Rata-ratanya memberikan cadangan
supaya guru Bahasa Inggeris itu meletakkan hadiah itu di surau atau
menjadikannya sebagai alas.
Menurut Jasli, dia bercadang untuk
meletakkan sejadah dan tasbih digital berkenaan di surau di hadapan rumahnya.
Kredit: MStar
0 Comments