Empat warga Indonesia ditahan seludup pelarian Rohingya

Empat warga Indonesia ditahan seludup pelarian Rohingya

 

Empat suspek warga Indonesia berhubung penyeludupan pelarian Rohingya dilihat semasa sidang media di Balai Polis Aceh Barat di Meulaboh, Aceh Barat. - Foto AFP


MEULABOH: Empat warga Indonesia ditahan kerana terbabit dalam penyeludupan puluhan pelarian Rohingya selepas bot migran itu karam di perairan pantai paling barat kepulauan itu bulan lalu, kata polis hari ini.


Bulan lalu, pihak berkuasa menyelamatkan 69 pelarian Rohingya di luar pantai barat wilayah Aceh, yang berpaut pada badan bot yang terbalik selama lebih daripada sehari.


Enam yang lain diselamatkan oleh nelayan sehari sebelum kejadian.


Mayat 16 pelarian Rohingya turut ditemui selepas bot yang dinaiki kira-kira 150 orang itu karam.


Polis di wilayah Aceh berkata, tiga orang tengah yang sebelum ini diselamatkan sebagai sebahagian daripada kumpulan itu turut ditahan.


Suspek keempat pula ditahan selepas soal siasat dijalankan.


Lelaki itu didakwa pergi ke laut untuk mengambil pelarian itu menaiki bot lain dari Bangladesh, dengan tujuan mengangkut mereka ke Malaysia.


"Selepas dijemput dari pulau Sabang, pelarian Rohingya itu akan diangkut ke wilayah Sumatera Utara dengan trak sebelum mahu menyeberang ke Malaysia," kata Ketua Polis Aceh Barat, Andi Kirana pada sidang akhbar.


Kata Kirana, salah seorang suspek yang dikenali sebagai HS berkata, dia menerima lima juta rupiah (RM1,485) bagi setiap pelarian daripada ejen di Malaysia.


Tiga yang dituduh pula memandu bot ke laut untuk mengambil pelarian.


Jelasnya, pihak berkuasa masih mencari empat lagi suspek, yang didakwa 'dalang di sebalik penyeludupan pelarian Rohingya ke Aceh.


Ramai Rohingya menempuh perjalanan berbahaya sejauh 4,000 kilometer dari Bangladesh ke Malaysia, yang bernilai jutaan dolar dan sering menjadikan Indonesia lokasi persinggahan.


Etnik Rohingya yang kebanyakannya beragama Islam dilayan dengan buruk di Myanmar menyebabkan ribuan mempertaruhkan nyawa mereka setiap tahun dalam perjalanan laut yang panjang dan mahal.


Menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), seramai 1,752 pelarian Rohingya, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak tiba di wilayah Aceh dan Sumatera Utara antara pertengahan November dan akhir Januari lalu.


UNHCR berkata, ia adalah aliran masuk terbesar ke negara majoriti Islam itu sejak 2015, didorong oleh keadaan yang semakin teruk di kem Bangladesh dan keganasan yang berterusan di negara asal Rohingya, Myanmar. - AFP

Post a Comment

0 Comments