Selebriti jelita, Erra Fazira reda andai ditakdirkan kembali bertemu jodoh pada usia 60 tahun.
Erra, 50, berkata, dia tidak pernah merancang mahupun menyekat kehadiran jodoh kerana ia adalah takdir Allah.
Justeru, pengacara program Nasi Lemak Kopi O di TV9 itu terima apa pun ketentuan dari-Nya termasuk soal jodoh.
"Saya serahkan semuanya pada Allah, kalau ditakdirkan dan diizinkan bertemu jodoh pada usia 60 pun saya terima.
"Tapi, setakat ini saya tak mencari, kalau ada, adalah. Saya tak berani nak cakap, takut nanti tiba-tiba Allah bolak-balik hati, saya pula yang sibuk nak cari jodoh," kata Erra yang ditemui pada majlis rumah terbuka Terlajak Raya anjurannya bersama jurusolek, Deq Sha di Restoran Puteri, Sungai Penchala, semalam.
Erra yang sudah 10 tahun menggalas tanggungjawab sebagai ibu tunggal berkata, soal mencari pasangan hidup kini bukan lagi menjadi keutamaan.
Katanya, dia kini bahagia dengan kehidupan solo meskipun tanpa kehadiran pasangan, malah tidak pernah langsung merasakan kekurangan.
"Saya bahagia dengan kehidupan sekarang, malah tak pernah rasa ada kekurangan di mana-mana. Bagi saya, bahagia dan tenang itu tak semestinya perlu ada pasangan.
"Kalau hidup solo boleh memberikan ketenangan, kenapa tidak? Saya nak nikmati sahaja hidup ini sama ada berpasangan atau tidak. Kalau ada, Alhamdulillah.
"Tapi, kalau tak ada pun saya okay dan gembira sebab tak perlu gaduh-gaduh.
"Dulu kita fikir kalau lambat kahwin, umur berapa nak ada anak. Nanti usia sudah lanjut masih ada anak kecil, semuanya difikirkan. Tapi, sekarang saya serahkan pada takdir 'go with the flow', saya nak hidup tenang-tenang sahaja," katanya.
Bagaimanapun, Erra berkata, dia tidak pernah menutup pintu hati untuk mengenali mana-mana lelaki, sebaliknya mengakui ada berkawan.
"Adalah kenal-kenal, tetapi mengenali tak semestinya bersatu. Doakan yang terbaik sahaja," katanya.
Terdahulu, Erra pernah mendirikan rumah tangga dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin pada 25 Oktober 2007, namun bercerai pada Februari 2014.
Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Engku Alessya Engku Emran.
Kredit: Berita Harian
0 Comments