Jay Jaya tak percaya ada sakit jantung, terpaksa buat pembedahan segera

Jay Jaya tak percaya ada sakit jantung, terpaksa buat pembedahan segera




KUALA LUMPUR: Penyanyi popular era 1970-an, Jay Jay, 66, dijadualkan akan menjalani pembedahan pintasan jantung (bypass) kerana masalah jantung tersumbat di Institut Jantung Negara (IJN), pagi esok.


Penyanyi nasyid yang juga penggiat industri seni, Cheb Ali Masrawi berkata, dia dapat tahu berita mengenai Jay Jay dimasukkan ke IJN melalui penyanyi Rozita Rohaizad yang juga Ahli Jawatankuasa Karyawan (AJK) Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN).


"Saya dan isteri, Azura Aziz terus ke IJN bersama Rozita untuk melawat Jay Jay, semalam.


"Keadaan Jay Jay okay. Dia boleh bercakap dan selera makan macam biasa. Isteri dan anggota keluarga lain turut menemaninya di wad," katanya.


Mengenai keadaan Jay Jay, Azura berkata, dia difahamkan Jay Jay tidak tahu dirinya menghidap penyakit jantung.


"Jay Jay tak percaya dirinya ada sakit jantung kerana tidak pernah buat pemeriksaan kesihatan seumur hidup.


"Dia (Jay Jay) mendapat serangan jantung ringan dan sesak nafas ketika mahu menaiki bas dari Singapura ke Kuala Lumpur, baru-baru ini," katanya.


Pada masa sama, kata Azura, dia dan suami yang juga AJK Persatuan Pencipta, Pelaku dan Penerbit (3P) Muzik Malaysia juga mengatur majlis doa selamat secara maya virtual untuk Jay Jay dan semua anak seni yang diuji penyakit ketika ini.




Terdahulu, Cheb Ali berkongsi berita mengenai keadaan Jay Jay atau nama sebenarnya, Mohd Fauzi Darus yang kini dirawat di IJN kerana penyakit jantung di aplikasi TikTok miliknya.


Antara lagu popular bekas penyanyi kumpulan Carefree ini ialah Rindu Bayangan dan Angan Tak Sudah.


Kredit: Harian Metro

Post a Comment

0 Comments