Anak syarikat Iconic Worldwide Bhd Iconic Medicare Sdn Bhd (IMED) menyaman Jovian Apparel Sdn Bhd atas dakwaan pelitup muka dibekalkan kepada peruncit itu yang bernilai RM4.96 juta masih belum dibayar.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Iconic Worldwide berkata IMED telah memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap Jovian Apparel pada 13 Mei, di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, petik New Straits Times.
Ia menyatakan bahawa IMED kini merupakan penyumbang utama kepada prestasi kewangan kumpulan itu.
Menurut Iconic Worldwide, IMED telah membekalkan pelitup muka kepada Jovian Apparel berdasarkan spesifikasi dan pesanan peruncit di bawah jenama Jovian RTW.
Bagaimanapun, IMED mendakwa syarikat itu gagal membuat pembayaran penuh untuk stok yang dihantar, meninggalkan jumlah tertunggak sebanyak RM3.16 juta, termasuk caj gudang dan faedah.
Selain itu, Jovian Apparel membuat pesanan untuk lebih banyak pelitup muka, yang disediakan IMED, tetapi peruncit itu telah mengabaikan atau enggan menyediakan jadual penghantaran untuk barangan tersebut.
Nilai pelitup muka yang diabaikan itu berjumlah RM1.80 juta setakat 19 April lalu, petik laporan itu.
“Walaupun pelbagai cubaan pihak plaintif (IMED) menuntut hutang tertunggak, defendan (Jovian Apparel) tetap enggan atau lalai membuat pembayaran kepada plaintif.
“Disebabkan kegagalan, diabaikan dan/atau keengganan defendan membayar jumlah hutang kepada plaintif, defendan telah melanggar syarat perjanjian/kontrak antara kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan tuntutan yang difailkan dengan mahkamah .
Memetik laporan itu lagi, Iconic Worldwide percaya bahawa, selain daripada yuran profesional, syarikat itu tidak akan menghadapi sebarang liabiliti lain daripada writ saman dan penyata tuntutan.
Walaupun jumlah sebenar litigasi akan ditentukan oleh mahkamah, syarikat percaya bahawa penjejasan hutang tertunggak yang terlibat dalam saman ini boleh memberi kesan ketara kepada pendapatan masa depan dan aset bersih Iconic Worldwide untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024.
“Syarikat itu akan terus membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat perkembangan material berkenaan dengan prosiding tersebut di atas,” katanya.
Terdahulu, Jovian mengumumkan penutupan operasi dua jenamanya; Jovian Mandagie Couture dan Jovian Ready-To-Wear.
Pada masa sama beliau juga telah mengadakan jualan penutupan kedai dengan harga yang sangat murah.
Kredit: The Vocket
0 Comments