Pasti ramai yang belum tahu tentang istilah Golden Week di Jepun.
Untuk pengetahuan anda, Golden Week merupakan satu musim percutian yang panjang di negara matahari terbit sekali gus menjadikannya musim paling sibuk bagi industri pelancongan.
Tempohnya bermula antara 29 April sehingga 5 Mei yang mana empat hari adalah percutian khas untuk masyarakatnya.
Ia kemudian disusuli cuti hujung minggu serta hari buruh sehingga digelar Ogata Renkyu atau percutian berturutan.
Bagaimanapun, baru-baru ini salah seorang rakyat Malaysia yang melancong sambil bekerja di sana berkongsikan pengalaman hampir ditipu oleh seorang gadis Jepun ketika sedang menikmati hidangan di sebuah restoran.
Spageti dakwat sotong merupakan hidangan kegemaran Mike di Jepun. |
Berkongsi pengalaman, Mike Winchester yang merupakan jurutera syarikat cari gali minyak terkemuka berkata, pada masa kejadian, dia didatangi seorang gadis Jepun yang membawa keratan akhbar kepadanya.
"Kejadian berlaku pada Sabtu, 27 April semasa musim cuti panjang di Jepun yang dikenali sebagai Golden Week. Gadis Jepun tersebut memberikan keratan akhbar kepada saya dan bertanyakan sama ada pernah ke Gunung Fuji atau tidak.
"Dia menawarkan khidmat untuk menemani saya ke lokasi tersebut. Ketika dalam perjalanan, dia menyatakan perlu singgah di kuil untuk melakukan upacara sembahyang sebelum meneruskan perjalanan," ujarnya memulakan cerita.
Dia yang sering melancong sekitar rantau Asia Pasifik atas urusan kerja mula merasai keanehan selain menyedari kelibat dua lelaki yang mengekorinya dari restoran.
"Disebabkan saya rasa pelik dan sedar diikuti, saya nyatakan kepada gadis terbabit yang ada rakan ingin turut serta untuk ke Gunung Fuji. Susulan daripada itu, gadis terbabit memaklumkan dia tidak dapat menunggu dan perlu segera beredar.
Mike bekerja sambil melancong di beberapa negara sekitar Asia Pasifik. |
"Dua individu yang mengikuti juga tidak kelihatan selepas gadis berkenaan berlalu," katanya yang akan berada di Jepun selama satu hingga dua bulan.
Sering melakukan pengembaraan solo, Mike yang telah melawat lebih 15 negara atas urusan kerja dan melancong turut berkongsikan beberapa tip.
1. Melancong secara cashless sekiranya boleh
Kebanyakan negara dan tempat pelancongan sudah menerima kad atau e-wallet.
Selain lebih selamat kerana tidak mempunyai tunai yang banyak di tangan, kita juga boleh jimat sedikit dalam perbezaan kadar pertukaran matawang.
Mike sering melakukan pengembaraan solo. |
2. Travel light
Apabila sudah siap mengemas barang yang ingin dibawa, cuba semak kembali dan kurangkan separuh kerana kebiasaannya kita tidak memerlukan barang-barang tersebut seperti lebihan pakaian.
Andai kata secara tiba-tiba tidak mencukupi, barang tersebut boleh sahaja dibeli di negara yang dikunjungi.
Lebihan ruang dalam bagasi itu pula boleh diisi dengan cenderamata.
3. Pengembara solo perlu peka keadaan sekeliling
Pastikan anda sentiasa peka serta berwaspada dengan situasi semasa di sekeliling.
Risiko atau bahaya mungkin akan datang secara tiba-tiba seperti kehadiran gadis scammer Jepun.
Paling penting anda tidak terlalu leka dengan telefon bimbit semasa berada di kawasan awam ya!
0 Comments